Kos pembesaran LTAPP RM1.55 bilion

Kos pembesaran LTAPP RM1.55 bilion

George Town: Kos keseluruhan bagi pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dianggarkan RM1.55 bilion dengan hampir keseluruhannya dibiayai melalui inisiatif pembiayaan swasta oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johariberkata, ia dibiayai tanpa sebarang kerjasama dengan syarikat swasta lain dan membabit pembesaran kapasiti lapangan terbang daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta penumpang setahun apabila siap kelak.

“Projek pembesaran LTAPP membabitkan tiga pakej iaitu Works Package 1 (WP01) melibatkan kerja bangunan sokongan dan pembinaan Remote Digital Virtual Tower (RDVT), Works Package 2 (WP02) babitkan kerja infrastruktur airside dan apron.

Works Package 3 (WP03) pula melibatkan kerja di terminal utama dan buat masa ini, surat anugerah (LOA) bagi Works Package 1 sudah dikeluarkan pada Julai 2024,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) yang meminta disenaraikan semua penerbangan terus ke LTAPP, jumlah penumpang domestik dan antarabangsa bagi 2024, status penaiktarafan, kerja penaiktarafan infrastruktur dan penyuraian trafik sekitar LTAPP.

Mengenai tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Chung San. dekat sini yang terbabit dengan pengambilan tanah bagi projek pembesaran LTAPP, Zairil berkata, proses pewartaan di bawah Seksyen 4 dan 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Akta 416) sedang disempurnakan pada masa kini.

Beliau berkata, selepas pengambilan tanah selesai kelak, Lembaga Pentadbir SJKC Chung San boleh menguruskan perolehan tapak sekolah serta pembinaan bangunan yang baru dengan menggunakan pampasan pengambilan balik tanah yang akan dibayar mengikut ketetapan Akta 486.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top