Dugaan urus jenazah ketika banjir

Dugaan urus jenazah ketika banjir

am@hmetro.com.my

Besut: Pemandu dan tiga penumpang pacuan empat roda yang dalam perjalanan dari Kampung Gaung, Jertih ke Padang Bual, Hulu Besut untuk menguruskan jenazah, cemas selepas kenderaan dimasuki air ketika melalui jalan dinaiki air, semalam.

Pengerusi Pertubuhan Amal Komuniti Besut Terengganu, Mohd Azizul Azli Mohd Sani berkata, mereka sebelum itu menerima panggilan telefon daripada waris untuk menguruskan jenazah lelaki berusia lingkungan 50-an di Kampung Padang Bual.

Katanya, mereka bergerak pada 6 petang ke rumah waris sejauh 13 kilometer dan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 20 minit menjadi dua jam disebabkan banjir.

“Begitu juga perjalanan balik pun dua jam, apabila kami terpaksa meredah banjir di beberapa kawasan walaupun ada laluan yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan, demi menunaikan fardu kifayah ini.

“Ketika mengharung banjir, tiba-tiba air masuk dalam kenderaan hingga paras tempat duduk. Habis pakaian kami basah.

“Sebaik sahaja selesai memandikan serta kafan jenazah, kami pun segera pulang yang ketika itu keadaan (banjir) sama tetapi situasi lebih mencabar kerana waktu malam, sukar lihat jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Besut hari ini.

Menurutnya, kediaman keluarga si mati dan kawasan perkuburan tidak dinaiki air kerana berada di kawasan tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top