'Ibu menangis rumah hanya nampak bumbung'

'Ibu menangis rumah hanya nampak bumbung'

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: “Saya hanya mampu melihat ibu menangis apabila rumah kami dilanda banjir dan hanya menampakkan bumbung sahaja,” luah Suzana Mahadi, 40.

Suzana berkata, air mula memenuhi kawasan rumahnya sejak Rabu lalu dan dia bersama ibu, Khatijah Yusof, 62, berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), kelmarin, selepas air naik mendadak sehingga paras pinggang di dalam rumah.

Katanya, ibunya hanya termenung sepanjang berada di PPS memikirkan keadaan satu-satunya rumah kayunya kerana bimbang jika ia rosak atau roboh.

“Tiada apa yang dapat kami selamatkan, barangan yang disimpan tinggi di dalam rumah juga habis ditenggelami air.

“Kediaman saya hampir setiap tahun dilanda banjir, namun tidaklah seteruk ini. Saya sekeluarga juga bimbang jika ia roboh memandangkan rumah lama ditenggelami air.

“Saya yakin akan mengambil masa yang lama untuk bah ini pulih, malah biasanya ada beberapa fasa banjir menyebabkan kediaman kami ditenggelami air berulang kali,” katanya yang tinggal di Kampung Gual Periok di sini.

Suzana berkata, dia hanya membawa dokumen penting dan beberapa helai baju kerana keadaan agak huru-hara susulan air naik mendadak pada waktu malam.

“Selain itu, kami juga terperangkap kerana semua jalan utama untuk keluar dari perkampungan kami dinaiki air dan tidak boleh dilalui dengan kenderaan.

“Nasib baik kami membuat persiapan awal dengan membeli bekalan makanan kerana makanan agak terhad di PPS yang kami duduki.

“Semoga bah ini segera surut dan tiada lagi fasa banjir yang teruk seperti ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top