'Keadaan di Rantau Panjang sangat menyedihkan, ribuan rumah hanya nampak bumbung' – NGO

'Keadaan di Rantau Panjang sangat menyedihkan, ribuan rumah hanya nampak bumbung' – NGO

nfazlina@nstp.com.my

Rantau Panjang: “Keadaan di Rantau Panjang sangat menyedihkan, ribuan rumah hanya nampak bumbung, malah ada yang tenggelam terus. Kenderaan yang diletakkan di tempat tinggi pun turut tenggelam.”

Demikian gambaran Koordinator Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar ketika menceritakan keadaan banjir di jajahan berkenaan pada gelombang pertama tahun ini.

Katanya, keadaan paras air yang tinggi apabila Sungai Golok merekodkan paras terburuk sehingga 11.43 meter menyebabkan ramai mangsa yang terperangkap dan tidak sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sepanjang saya menyertai badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce selama sembilan tahun, setiap kali banjir saya akan turut bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu mangsa banjir termasuk membawa mereka ke PPS.

“Namun banjir kali ini adalah yang terburuk saya saksikan. Memang saya tinggal di sini sudah 51 tahun namun sepanjang sembilan tahun menyertai Thirdforce, saya dapat melihat keadaan banjir lebih menyeluruh kerana terbabit sama dengan operasi.

“Sangat sedih menyaksikan keadaan mangsa banjir. Ada yang menangis melihat rumah tenggelam, ada yang buntu mengenangkan kehidupan selepas ini apabila rumah hanya nampak bumbung,” katanya.

Tuan Zaimah berkata, di Rantau Panjang, 99 peratus rumah penduduk dilanda banjir dengan 60 peratus hanya nampak bumbung termasuk ada yang tenggelam terus.

“Ada juga mangsa terpaksa naik di atas bumbung menanti bantuan pasukan penyelamat untuk dibawa ke PPS.

“Antara kawasan yang paling teruk ialah Kampung Tasek Bakong, Pusar, Lachang, Terdang, Telaga Emas dan Perumahan Rantau Mas.

“Di jajahan ini, hanya sebahagian kawasan Gual Tinggi saja yang terselamat manakala yang lain sudah seperti pulau,” katanya.

Daerah Pasir Mas termasuk di Rantau Panjang merekodkan mangsa banjir paling ramai di Kelantan iaitu 25,982 mangsa membabitkan 8,780 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top