am@hmetro.com.my
Besut: Kementerian Kerja Raya (KKR) bekerjasama dengan syarikat konsesi untuk menguji keberkesanan produk teknologi tebatan banjir dari Denmark yang dikenali sebagai NoFloods bagi meminimakan impak jalan terputus akibat banjir.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian memberi kebenaran untuk menjalankan ujian di Jalan Persekutuan tetapi inisiatif berkenaan adalah di bawah syarikat.
Katanya, pengujian produk berkenaan dipasang di Jalan Seberang Jertih Sempadan Negeri Kelantan, Daerah Besut, Terengganu dalam usaha persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut.
“Produk berkenaan kini di peringkat Proof of Concept (POC) dan dipasang di sepanjang 300 meter di Seksyen 6.30, Jalan Persekutuan FT189.
“Produk yang menggunakan teknologi Internet of Things (IOT) ini dipasang bermula pada 1 Oktober 2024 sehingga 31 Mac 2025 bagi proses ujian dan percubaan selama enam bulan.
“Tempoh ujian ini adalah selaras dengan tempoh musim tengkujuh di negeri Terengganu,” katanya ketika merasmikan Teknologi Tebatan Banjir &Internest of Things (IOT) NoFloods di Daerah Besut di Kampung Beris Pak Abu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini teknologi NoFloods ini berjaya menghalang air daripada merentasi jalan yang boleh menyebabkan banjir berlaku dan memutuskan perhubungan jajaran jalan raya itu.
“Catatan ketinggian paras air yang direkod adalah setinggi 0.9 meter dari aras tanah dan alat ini mampu menampung sehingga 1.2 meter ketinggian aras air banjir.
“Sehubungan dengan itu teknologi NoFloods ini dapat memberi perlindungan pada aset awam seperti jalan raya dan mengurangkan risiko jalan cepat rosak akibat banjir,” katanya.
Beliau berkata, setiap tahun negara dilanda banjir dan teknologi berkenaan salah satu inisiatif mitigasi KKR dalam mengurangkan impak banjir terhadap perhubungan, kerosakan jalan raya dan gerakan bantuan mangsa banjir.
Katanya, selain tinjauan pengujian POC teknologi tebatan banjir, beliau turut meninjau lokasi cadangan kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Daerah Dungun, Terengganu yang dicadangkan dilaksanakan pada tahun 2025.
Tambahnya, tiga lokasi yang menjadi keutamaan kerja penyenggaraan jalan ialah Jalan Kuala Terengganu –Kuantan (FT003) di Seksyen 463-465, Jalan Bukit Besi-Dungun (FT132) di Seksyen 8-10 dan Jalan Jerangau- Jabor (FT14) di Seksyen 117-118.
© New Straits Times Press (M) Bhd
