am@hmetro.com.my
Shah Alam: Dua maut manakala dua lagi mangsa berjaya diselamatkan dalam kebakaran membabitkan rumah kedai tiga tingkat di Taman Bayu Perdana, Klang dekat sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 5.51 petang sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai tiga tingkat bangunan kelas A.
“Siasatan mendapati, kebakaran di tingkat dua bangunan dianggarkan 90 peratus.
“Keluarga memaklumkan terdapat empat orang mangsa yang mana dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam.
“Sebaik api berjaya dipadamkan, pada jam 6.33 petang dua lagi mangsa yang terperangkap dijumpai dalam tandas berasingan iaitu seorang lelaki dewasa (66 tahun) dan seorang kanak-kanak lelaki (8 tahun),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia di dalam tandas berasingan itu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Kedua-dua mangsa adalah bapa saudara dan anak saudara, pada 10.15 malam diserahkan kepada unit forensik Polis Diraja Malaysia.
“Manakala, dua mangsa yang selamat mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatakan rawatan,” katanya.
Beliau berkata, seterusnya pasukan forensik JBPM terus menjalankan siasatan awal bersama unit K9 JBPM.
“Premis diserahkan kepada forensik kebakaran JBPM untuk tindakan selanjutnya. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya 10.05 malam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kejadian itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
