TPM arah pantau lereng bukit, elak tragedi tanah runtuh berulang

TPM arah pantau lereng bukit, elak tragedi tanah runtuh berulang

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Agensi berkaitan sudah diarahkan untuk memantau kawasan berisiko terutama membabitkan lereng bukit atau gunung bagi mengelak kejadian tanah runtuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu perlu diambil bagi mengelak kejadian tanah runtuh yang menimpa kediaman penduduk di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini semalam tidak berulang.

“Isu berkaitan tanah runtuh ini di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), jadi, kita akan menghantar pasukan daripada jabatan itu untuk ke lokasi (tanah runtuh).

“Ia kerana kita melihat (terdapat) laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan menyebabkan berlaku runtuhan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi dan menyantuni keluarga mangsa tanah runtuh.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa tragedi tanah runtuh, Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri di kawasan berhampiran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terutamanya sepanjang tempoh musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Mereka yang berada di kawasan cerun atau di kawasan lereng bukit, gunung dinasihatkan supaya lebih berhati-hati.

“Semua pihak harus bersiap-siaga kerana keadaan MTL ini pada 2024 lebih buruk berbanding 2014.

“Malah ia bukan berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, malah juga berlaku di sembilan negeri lain disebabkan (faktor) pemanasan global dan juga ‘climate change’ (perubahan iklim), maka semua kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat dan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top