Dana pendeposit perlu diurus secara profesional

PETALING JAYA: Dana pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diurus secara profesional dan bebas daripada campur tangan tidak wajar bagi memastikan keselamatannya terjamin.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pendekatan itu penting kerana dana TH merupakan simpanan orang ramai yang merancang menunaikan haji.

Katanya, falsafah pelaburan perlu bermula dengan pemeliharaan modal sebelum memfokuskan kepada pulangan mampan, agihan stabil dan pertumbuhan dana.

“Reformasi pengurusan pe­laburan TH perlu memberi keutamaan kepada pulangan yang stabil bagi memastikan simpanan pendeposit diurus de­ngan risiko terkawal.

“Struktur baharu itu perlu memastikan dana pendeposit diurus secara profesional, bebas daripada campur tangan yang tidak wajar serta mempunyai kawalan risiko lebih kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Barjoyai berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) secara khusus menggunakan konsep pulangan stabil berbanding pulangan maksimum.

Katanya, beliau tidak mentafsir reformasi tersebut sebagai arahan supaya TH mengejar, misalnya pulangan lapan, 10 atau 12 peratus.

Beliau berkata, matlamatnya ialah mendapatkan pulangan terlaras risiko yang kompetitif iaitu pulangan munasabah berbanding risiko yang diambil.

“Contohnya, lebih baik 4.5 hingga lima peratus secara konsisten selama 10 tahun berban­ding pulangan yang berubah-ubah bagi dana yang mempunyai tanggungjawab fidusiari kepada jutaan pendeposit.

“Ini tidak bermaksud pula­ngan tinggi tidak penting. Malah, RCI juga menyarankan TH memperkukuh model perniagaan dan pelaburannya serta membina visi untuk menjadi institusi pe­ngurusan dana yang terkemuka dengan fokus mencapai pula­ngan tinggi. Tetapi kestabilan datang dahulu kerana tanggungjawab utama TH adalah terhadap dana pendeposit,” katanya.

Semalam, akhbar ini mela­porkan bahawa dana dan pe­laburan TH bakal diletakkan di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti (SC), antara syor pasukan kerja RCI TH termasuk pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Sebelum ini, syor berkenaan ialah penubuhan sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji di bawah TH bagi mengurus dana pendeposit dengan kawal selia SC untuk meningkatkan profesionalisme pengurusan pe­laburan tanpa perlu dijadikan se­buah syarikat subsidiari.

Barjoyai berkata, kawal selia SC sahaja tidak menjamin prestasi TH akan bertambah baik tanpa perubahan terhadap kecekapan pengurusan pelaburannya.

Katanya, TH perlu mempunyai unit pengurusan pelaburan yang profesional seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain mengamalkan sistem dan peraturan pelaburan yang ketat.

“TH perlu menjadikan unit pengurusan pelaburannya cu­kup profesional seperti PNB atau KWSP. Atau kalau mereka rasa ini terlalu besar cabarannya, lantik sahaja PNB sebagai pengurus pelaburannya supaya mereka boleh menumpukan perhatian kepada pengurusan jemaah haji setiap tahun.

“Aktiviti pengurusan pela­buran memerlukan satu sistem dan peraturan yang ketat dan penuh disiplin dalam aspek pembentukan portfolio, penentuan had pelaburan mengikut segmen dan paling penting polisi pengawalan risiko.

“Pasukan profesional pengurusan pelaburan mestilah bukan sahaja terlatih tetapi berjaya mewujudkan dan mengamalkan praktik disiplin pelaburan yang benar-benar ketat dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berpandangan, tiada keperluan mewujudkan jabatan khusus bagi mengurus dana TH sekira­nya kelemahan pengurusan yang berlaku sebelum ini dapat ditangani dengan sewajarnya.

Katanya, masalah terdahulu masih boleh diperbaiki menerusi pengurusan baharu yang lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab tanpa bergantung sepenuhnya kepada perubahan struktur pengurusan.

“Sekiranya TH diletakkan di bawah satu jabatan khusus, ia boleh berperanan dalam memastikan tatakelola pengurusan yang lebih cekap,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top