Satu lagi laporan kes gangguan seksual, penceramah motivasi akan ditahan semula

Satu lagi laporan kes gangguan seksual, penceramah motivasi akan ditahan semula

am@hmetro.com.my

Kangar: Polis Perlis mengesahkan menerima satu lagi laporan baru terhadap seorang penceramah motivasi bebas yang didakwa melakukan gangguan seksual.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, laporan terbaharu terhadap suspek itu dibuat seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, semalam.

Beliau berkata, berikutan itu suspek akan ditahan semula hari ini selepas tempoh tahanan remannya tamat.

“Suspek diberikan jaminan polis petang ini selepas selesai prosedur reman pertama berkenaan. Namun, tindakan tangkapan semula segera dilakukan oleh Pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kangar bagi tindakan selanjutnya.

“Siasatan bagi kes terbaharu ini dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya di sini, hari ini.

Hamzah berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar esok oleh pegawai penyiasat bagi permohonan perintah reman baharu untuk membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan penceramah motivasi berkenaan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar semalam untuk proses permohonan perintah reman oleh pihak polis berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap mangsa bawah umur.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Mohd Amiruldin Roslan membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki itu selama dua hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top