mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Hujan tidak menghalang kemeriahan program larian dan riadah Navy Run 24 anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan penyertaan 6,000 peserta dalam acara itu hari ini.
Program yang berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena KL Car Free Morning (KLCFM) mencatat satu lagi kejayaan buat TLDM.
TLDM dalam kenyataan berkata, Navy Run 24 kali ini adalah edisi kedua selepas penganjuran sulung pada 2023.
“Navy Run 24 menyaksikan penyertaan warga The Navy People, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran, selebriti tempatan dan komuniti awam sekitar ibu kota.
“Pelepasan peserta bagi larian sejauh tujuh kilometer disempurnakan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman bersama Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad serta wakil jemputan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, selain larian, Navy Run 24 turut dimeriahkan dengan aktiviti sampingan seperti senamrobik, persembahan pancaragam Pusat TLDM, dan cabutan bertuah.
“Navy Run 24 bukan saja platform menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi melambangkan komitmen TLDM dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat, malah memelihara hubungan keluarga dengan menyediakan ruang melakukan aktiviti riadah bersama.
“Selain itu, tujuan program ini diadakan adalah sebagai menghargai sumbangan rakan strategik yang sentiasa menyokong pembangunan sukan TLDM,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




