Bapa tenggelam timbul tiga kali sebelum hilang dibawa arus sungai

Bapa tenggelam timbul tiga kali sebelum hilang dibawa arus sungai

am@hmetro.com.my

Jitra: “Saya nampak ayah tenggelam timbul tiga kali sebelum hilang dari pandangan.

“Saya tak tau berenang, kalau tidak tentu saya terjun dan berenang selamatkan ayah. Saya tengok depan mata, ayah hilang,” kata Mohammad Khairul Ikhwan Ismail, 20, anak sulung Ismail Hashim, 49, yang dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di sungai di Kampung Paya Lateh, di sini, semalam.

Mangsa dipercayai tenggelam di hadapan isterinya Siti Nor Sanisah Ishak, 46, yang ketika itu sedang memancing di situ serta dua lagi anak mereka, Muhammad Khairul Irfan, 15 dan Siti Nur Asyiffa, 8.

Kejadian berlaku pada jam 7.15 malam, kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Kampung Paya Chegar dan mereka sekeluarga baru sampai di kawasan itu tidak sampai 15 minit sebelum mangsa turun ke sungai.

“Biasanya ayah terlebih dulu menyeberangi jambatan di kawasan berhampiran untuk merentangkan pukat tetapi semalam, dia mengambil keputusan untuk mengikat tali nilon di pinggang dan berenang ke seberang,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Paya Lateh, hari ini.

Muhammad Khairul Ikhwan berkata, ketika bapanya hendak sampai ke tebing, dia tiba-tiba berpatah balik dan membuka tali yang diikat pada perut sebelum tenggelam timbul tiga kali dan hilang.

Katanya, mereka kemudian terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman dan kami selalu datang ke sungai ini untuk menahan pukat.

“Saya berharap operasi mencari ayah berjalan lancar dan semoga dia ditemukan segera,” katanya yang bekerja sebagai tukang besi.

Sementara itu, Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, operasi SAR disambung pada jam 8 pagi semalam dengan tumpuan diberikan di lokasi mangsa dilaporkan tenggelam.

“Sungai itu dipenuhi air akibat limpahan banjir yang melanda daerah ini tiga hari lalu.

“Cabaran yang kita hadapi sekarang adalah arus sungai deras selepas banjir,” katanya.

“Unit Anjing Pengesan (K-9) JBPM juga dipanggil untuk membantu operasi pencarian mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top