Lisa sokong tindakan berani Zahnita

Lisa sokong tindakan berani Zahnita

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Datin Lisa Surihani menyokong tindakan berani yang dibuat bekas model, Zahnita Wilson selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Lisa, 38, berkata, langkah proaktif yang diambil dan menyuarakan situasi di media sosial adalah satu keputusan yang bijak.

“Saya bersyukur anda berjaya keluar daripada rumah itu dan awak melakukan perkara yang betul dengan buat laporan polis.

“Jangan minta maaf kerana terpaksa menggunakan media sosial. Langkah itu sendiri pastinya sukar untuk diputuskan,” katanya menerusi ruangan komen di hantaran Zahnita di Instagram.

Menurut Lisa, dia berharap Zahnita dapat menjauhkan diri daripada ancaman keganasan itu.

“Tiada kata yang boleh menggambarkan kemarahan, kekecewaan terhadap bagaimana sistem sepatutnya bertindak lebih pantas menangani isu ini.

“Semoga anda dapat jauhkan diri dan dilindungi daripada bahaya dan sembuhkan awak daripada trauma,” katanya.

Tidak hanya Lisa, ramai selebriti tanah air turut menyatakan sokongan dan rasa simpati terhadap ujian yang sedang dihadapi bekas model itu.

Antaranya adalah Yasmin Hani, Sharifah Shahira, Tiz Zaqyah, Daphne Iking dan ramai lagi.

Semalam, Zahnita berkongsi foto di Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.

Susulan itu, suami kepada Zahnita iaitu Abdul Zackery Ghouse ditahan reman selama tiga hari sejak semalam di Kuantan bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top