puterialia@hmetro.com.my
Putrajaya: Pelakon Shukri Yahaya mengakui kesilapan sekali gus memohon maaf atas tindakannya menunjukkan jari tengah selepas tular sekeping foto dirinya bersama rakan lain yang dimuat naik di media sosial, baru-baru ini.
Meskipun pengikutnya di media sosial terdiri daripada kalangan dewasa, Shukri, 37, mempersoalkan mengapa perkara itu perlu diperbesarkan.
“Itu adalah hantaran bersama kawan-kawan dan menggunakan media sosial saya. Saya percaya pengikut saya adalah manusia atau orang yang sudah dewasa dan boleh berfikir serta boleh membezakan mana satu baik dan mana yang buruk.
“Lagipun budak-budak tidak sepatutnya gunakan media sosial tanpa kawalan. Jadi, kenapa perkara itu perlu dibesarkan dengan mengatakan takut anak-anak terikut atau terpengaruh?
“Daripada cuba menegur atau mencari kesalahan orang lain, lebih baik kita melihat perkara yang ada di sekeliling kita. Kalau risau anak-anak terikut dengan perkara yang tidak baik, kenapa benarkan mereka guna media sosial tanpa kawalan?” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Chelot di sini, malam tadi.
Menganggap perlakuannya tidak akan menjejaskan akhlak seseorang, Shukri berpendapat ibu bapa perlu sentiasa memantau penggunaan media sosial anak masing-masing.
“Teruk sangat ke perbuatan itu sampai boleh rosakkan akhlak? Daripada terlalu risau akhlak anak-anak, lebih baik kita risau apa yang mereka tonton dan apa yang mereka main. Perhatikan perkara itu. Ibu bapa perlulah mengawal penggunaan media sosial anak-anak.
“Bagi saya, kepada mana-mana pihak yang terasa, saya minta maaf. Itu memang kesalahan saya. Anggap sajalah itu kecerdasan buatan (AI), lagipun Andy Teh dah sunting semula gambar itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelakon Drama 7 Hari Mencintaiku ini turut meminta agar tidak mengheret isterinya ke dalam hal berkenaan kerana wanita terbabit tidak mempunyai kaitan.
“Tidak perlu babitkan isteri saya kerana saya tidak suka campur adukkan kehidupan peribadi dengan kerja atau media sosial saya,” kongsinya.
Katanya lagi, foto itu tular apabila seorang peniaga minyak wangi mengambil kesempatan menggunakan foto berkenaan tanpa izin demi mempromosikan produk jualannya.
“Pada awalnya, saya tidak terlalu terkejut apabila gambar itu menjadi tular. Saya tidak mahu ambil tahu. Tetapi apabila perkara itu mula dibesarkan, saya tertanya-tanya kenapa sampai jadi isu?
“Bila siasat rupanya orang yang tularkan perkara itu menjual minyak wangi. Akaun itu baru dua hari diwujudkan.
“Pada hari kedua, dia bercerita mengenai minyak wangi tetapi tiada orang memberikan komen.
“Dia ada berkongsi hantaran mengenai ketiak, barulah dapat perhatian. Mungkin dia nampak di situ ada peluang, jadi dia gunakan gambar saya, walaupun foto itu sudah dipadam di media sosial saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Shukri bakal tampil dalam filem Chelot arahan Adrian Teh yang turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Alicia Amin dan Azhan Rani.
Chelot adalah filem aksi berkaitan kepolisan, kod rahsia serta sindiket penyeludupan senjata yang akan menemui penonton di pawagam pada 27 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

