sukan@hmetro.com.my
Seremban: Selepas kecewa pada Cabaran Grand Final Muay Thai Antarabangsa Kuda Merah 2024, bulan lalu, jaguh Muay Thai Negeri Sembilan, Mohammad Adib Mohammad Ramlee kini berpeluang menebus kekecewaan itu pada KL Fight League 2024, Ahad ini.
Atlet yang mewakili Negeri Sembilan di temasya Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini dijadual akan berhadapan dengan Zul Fadlee dari kelab Fighter Den pada acara utama di pentas berprestij itu.
Dia akan beraksi bagi kategori 57/60 kilogram (kg) pada kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, jam 9 malam.
“Ini pertembungan pertama saya dengan Zul Fadlee dan tidak tahu kekuatan sebenar dia, tapi mana-mana atlet yang sampai ke pentas final adalah kalangan yang terbaik.
“Saya jangkakan cabarannya nanti bukan mudah apa lagi Zul Fadlee ada kelebihan dari segi fizikal kerana dia lebih tinggi, tapi saya sudah membuat persiapan rapi termasuk merangka strategi terbaik dalam misi menewaskan dia,” kata Mohammad Adib, hari ini.
Adib adalah atlet tunggal dari Negeri Sembilan yang layak beraksi di pentas final pada kejohanan yang diadakan secara liga dan berlangsung sejak Julai lalu.
“Saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan Zul Fadlee dan yakin menerusi bantuan jurulatih, Muhammad Faisal Zulkeple, mampu memenangi pertarungan itu nanti,” katanya.
Berdasarkan senarai atlet yang dikeluarkan penganjur, antara atlet yang akan beraksi termasuk Eva Anatasia yang bakal berentap dengan Ecah Gomo kategori 45/48kg sekali gus menjadikan satu-satunya pertarungan membabitkan atlet wanita.
Secara keseluruhannya, terdapat sembilan pertarungan bakal disaksikan membabitkan pelbagai kategori dari 51kg sehingga 70kg.
© New Straits Times Press (M) Bhd




