Ingatkan kemalangan, rupanya sekat jalan untuk 'lumba haram'

am@hmetro.com.my

Kulai: Polis Johor mengesahkan kejadian sekumpulan individu menahan kenderaan atau menghalang laluan seperti yang tular di laman sosial Facebook berlaku di Kulai di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, bagaimanapun lokasi kejadian yang tepat masih dalam siasatan.

“Laporan lengkap akan menyusul,” katanya ketika dihubungi.

Pagi tadi tular video menunjukkan perbuatan sekumpulan lelaki yang sengaja menahan kenderaan dan menghalang laluan semata-mata bagi memberi ruang kepada ‘lumba haram’.

Menerusi video berdurasi 33 saat, dua motosikal didapati dipandu penunggang dengan melakukan aksi Superman berserta sorakan.

Malah mereka juga seolah-olah meraikan perbuatan itu dengan membakar mercun di tepi laluan.

Netizen mendakwa kejadian berlaku di Lebuhraya Linkedua Senai- Indahpura pada jam 7 pagi.

Malah seorang pengguna jalan raya mendakwa perbuatan itu mengundang kesulitan kepada pengguna jalan raya.

Orang ramai pada awalnya menjangka kenderaan dihalang berikutan berlaku kemalangan namun kecewa apabila menyedari ia perbuatan individu tertentu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top