Sayangi diri sendiri sebelum harap hormat orang lain

Sayangi diri sendiri sebelum harap hormat orang lain

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Hampir setahun berlalu, ternyata begitu banyak kisah suka, duka, dugaan, kejayaan dan sebagainya sudah mencoreng kanvas kehidupan masyarakat di Malaysia pada tahun ini.

Dari awal tahun sehingga kini, ada saja pelbagai kisah membawa impak terutama di media sosial untuk dibincang netizen secara terbuka dan mengadilinya sendiri.

Antara menarik perhatian, pastinya kes perceraian membabitkan pasangan selebriti yang menjadi sorotan ramai kerana agak banyak juga ikatan perkahwinan terlerai tahun ini.

Bukan sekadar wujudnya ‘orang ketiga’ atau penyondol sebagai penyebab namun tiada lagi persefahaman sesama pasangan serta masalah kewangan juga menjadi punca kebanyakan perceraian berlaku.

Apa pun, pendedahan dibuat model dan pelakon, Zahnita Wilson, 39, yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya amat mengejutkan ramai.

Ditambah lagi, apabila difahamkan Zahnita sanggup bertahan melaluinya selama 20 tahun perkahwinan dan ia masa yang lama serta tidak sepatutnya berlaku.

Tapi, saya percaya Zahnita ada sebab tersendiri mengapa dia memilih ‘berdiam’ terlalu lama mengenai perkara itu. Namun, biasanya wanita sanggup ‘menelan segala pahit’ demi anak-anak.

Membaca kemelut kisah Zahnita ini mengingatkan pada cerita seorang sahabat saya yang mengalami nasib sama. Malah, hospital pernah menjadi rumah keduanya selama beberapa tahun sebelum dia bangkit mengubah kehidupan.

Bagi kebanyakan wanita yang berkeluarga, anak adalah segalanya. Biar sakit, biar tidak makan dan sebagainya namun kebajikan dan kebahagiaan anak yang utama.

Malah, kalau diminta suami berhenti kerja sekalipun demi fokus menjaga anak, pasti ada wanita sanggup melakukan kerana tanggungjawab itu segalanya bagi mereka.

Tidak hanya itu, wanita juga mudah memberi kemaafan kepada pasangannya. Tetapi, itu tidak bermakna mereka kurang bijak (beri kemaafan). Ia cuma kerana sifat kasih sayang dan kemanusiaan yang tinggi.

Sayangnya, tidak semua lelaki ambil peluang itu kerana terleka dengan ego diri. Malah, ada yang menganggap kemaafan diberi adalah kelemahan dan simpati diinginkan wanita.

Apa pun lelaki perlu ingat, wanita bukan objek untuk dipukul dan ditindas mereka sesuka hati. Sebagaimana wanita itu diambil daripada ibu bapanya secara baik kerana cinta, maka ‘pulangkan’ secara baik juga apabila tidak diinginkan lagi.

Takdir diaturkan Allah sudah sangat baik, tetapi yang memburukkannya adalah manusia sendiri. Jadi, buat wanita ditindas, segala keputusan tindakan ada pada tangan kita sendiri.

Cuma, atas kita juga sama ada ingin bertindak segera atau berdiam diri saja. Takdir hidup ini tidak kejam, tetapi selalunya tindakan diambil agak lewat kerana bermacam aspek difikir.

Dalam soal rumah tangga ini, bukan hanya kisah Zahnita
dan rakan saya yang ada pengalaman pahit, namun saya percaya pasti ramai wanita di luar sana ada berhadapan masalah serupa seperti mereka.

Jadi, jangan terus berdiam diri. Keluar untuk dapatkan pembelaan undang-undang ke atas diri sendiri.

Buat laporan polis, dapatkan keputusan laporan kesihatan doktor, jumpa pakar kaunseling dan ambil khidmat guaman.

Hanya kita mampu ubah nasib diri. Buang juga rasa malu dan asyik memikirkan pandangan orang lain yang tidak ke mana.

Wajar kita sayangi diri sendiri dulu sebelum mengharapkan rasa hormat orang lain.

Pada masa sama, memandangkan ketika ini berlaku banjir buruk di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, didoakan supaya bencana alam ini berakhir dengan segera.

Malah, semoga dipermudahkan juga kepada semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan banjir untuk mengambil ujian dengan lancar di sekolah masing-masing.

Apa pun, banyakkan berdoa dan percaya ‘selepas hujan ada pelangi, selepas kabus ada mentari’. Selamat maju jaya.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top