hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Wanita mendakwa hidup tertekan selepas dituduh penipu apabila gambar suaminya digunakan sindiket penipuan untuk memohon dana daripada orang ramai.
Sindiket menggunakan akaun Facebook pertubuhan kebajikan itu didakwa meminta derma dengan menggunakan gambar mangsa yang diserang angin ahmar sejak 2022 lalu.
Pekerja kebersihan dikenali sebagai Lee, 40, berkata dia pernah meminta bantuan daripada sebuah pertubuhan kebajikan untuk suaminya berusia 59 tahun yang diserang angin ahmar.
“Pertubuhan kebajikan itu memuat naik gambar suami di saluran rasmi mereka dan kami menerima bantuan dana yang diminta.
“Kami kemudian meminta untuk menghentikan sumbangan berkenaan kerana sudah mencukupi, namun terdapat satu akaun Facebook mencuri gambar suami dan memohon dana daripada masyarakat,” katanya.
Lee berkata demikian ketika ditemui membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, hari ini.
Menurutnya, sejak itu, gambar suaminya sering digunakan pelbagai pihak untuk meraih simpati dan dana awam.
Katanya, dia sudah membuat empat laporan polis bermula Julai lalu sehingga kini berikutan nombor akaun bank juga bukan miliknya.
“Namun gambar saya masih berlegar-legar di pelbagai akaun Facebook. Saya kini tertekan kerana masyarakat memandang serong sehingga digelar penipu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong meminta masyarakat berhati-hati dan memeriksa terlebih dahulu sumbangan yang ingin disalurkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




