Siasatan dedah kes culik RM7 juta berkaitan dadah, mangsa dan bekas polis kini ditahan

Siasatan dedah kes culik RM7 juta berkaitan dadah, mangsa dan bekas polis kini ditahan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Subang Jaya: Mangsa yang diselamatkan dalam kes penculikan meminta wang tebusan RM7 juta, Sabtu lalu, kini ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mangsa berusia 44 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman semalam, selepas siasatan mendapati ada elemen pengedaran dadah dalam kejadian itu.

Menurutnya, selain itu pihaknya turut membuat tangkapan baru membabitkan dua lelaki tempatan berusia 30-an semalam, yang dipercayai terbabit dalam kes culik berkenaan.

“Hasil siasatan JSJ dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, kita mengenalpasti elemen pengedaran dadah atau sindiket yang terbabit dalam pengedaran dadah.

“Susulan itu JSJN membuat tangkapan ke atas mangsa berusia 44 tahun itu mengikut LLPK 1985,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes komersial dan setakat ini dipercayai mangsa turut terbabit dalam sindiket dadah.

“Ketika ditahan, lelaki itu juga didapati positif dadah hasil ujian awal saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya,” katanya.

Kumar berkata, selain itu, pihaknya turut menahan dua lagi lelaki berusia 30-an yang dipercayai terbabit dalam kes culik itu di sekitar Selangor, semalam.

Katanya, seorang daripada dua individu itu adalah bekas anggota polis yang sudah dipecat pada 2023 kerana terbabit kes dadah.

“Kedua-dua lelaki terbabit direman 10 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut dan pihaknya masih mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Terdahulu media melaporkan, enam individu ditahan tidak sampai 48 jam selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta bagi membebaskan mangsa.

Kumar dilaporkan berkata, polis menerima laporan berhubung penculikan itu daripada isteri mangsa.

Enam individu itu terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top