mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban semalam tiada kaitan langsung dengan tugasan ataupun operasi bencana, menurut Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Khairul Shahril Idrus.
Khairul turut menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi bencana ditetapkan setiap agensi pihak berkuasa dengan komander operasi menentukan kaedah paling selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Katanya, SOP operasi ditetapkan oleh agensi masing-masing dan dikawal selia serta diselaraskan oleh Ketua Polis Daerah sebagai komander operasi bencana di setiap kawasan.
“Operasi akan dijalankan apabila komander operasi menentukan kaedah yang paling selamat operasi berkenaan dijalankan.
“Anggota PDRM yang terkorban semalam pula tiada kaitan langsung dengan tugasan ataupun operasi bencana yang beliau terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Semalam, PDRM mengesahkan anggota polis ditemukan lemas di ladang sawit di Felda Kerteh 3, Dungun.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin dilaporkan berkata, mangsa, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Dungun, dihanyutkan arus deras ketika melalui laluan ditenggelami banjir di ladang sawit terbabit dengan motosikal pada 5 pagi, Ahad lalu.
“Sebelum itu, dia bersama dua rakannya memasuki ladang sawit berkenaan untuk mengambil beg duitnya yang tertinggal di dalam raga motosikal yang terkandas semalaman akibat banjir,” katanya.
Sementara itu, menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 4 petang, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 205 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah seramai 59,687 daripada 18,375 keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




