San Francisco: Gempa bumi kuat di luar pantai California mencetuskan amaran tsunami pada Khamis, dengan penduduk diberi peringatan untuk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi, sebelum amaran itu dibatalkan.
Pakar seismologi di Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, gegaran cetek bermagnitud 7 melanda sekitar 68 kilometer (km) dari bandar pantai Ferndale, pada pagi dengan penduduk yang tinggal di kawasan itu merasai gegaran kuat.
Pengguna telefon pintar menerima amaran menggesa mereka berpindah ke kawasan lebih tinggi dengan segera, kata wartawan AFP di kawasan itu.
“Siri ombak kuat dan arus deras mungkin memberi kesan kepada pantai berhampiran anda. Anda dalam bahaya. Jauhkan diri daripada perairan pantai,” kata amaran itu.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan yang mengeluarkan amaran itu, menarik balik arahan berkenaan sekitar tengah hari, sejurus sebelum gelombang pertama dijangkakan.
Gempa itu nampaknya dirasai di seluruh rantau ini, termasuk di San Francisco Bay Area, di mana beberapa orang berkata, mereka merasakan seperti terdapat “ombak bergulung di bawah kaki”.
Marc Buller, seorang peguam yang tinggal di Eureka, sebuah bandar pelabuhan di utara California berhampiran pusat gempa luar pesisir berkata, dia mengalami banyak gempa bumi, tetapi yang ini terasa luar biasa.
“Ia adalah satu hentakan yang kuat. Apabila hentakan besar itu berhenti, ia terasa seperti rumah itu berada di atas penggelek. Ia seperti apabila anda membaling batu besar ke dalam air dan percikannya keluar, ia seperti bumi melakukan itu,” katanya kepada AFP.
Pantai Barat AS adalah pertemuan beberapa plat tektonik bumi, dan gegaran memang sering berlaku.
Kawasan itu dilanda beberapa gempa bumi besar, termasuk gempa bumi 1994 di Northridge di kawasan Los Angeles, dan membunuh berpuluh-puluh orang dan mencederakan beribu-ribu mangsa lagi, selain mengakibatkan berbilion dolar kerosakan rumah dan infrastruktur.
Gempa bumi San Francisco pada 1906, yang juga menyebabkan tsunami, dianggap membunuh lebih daripada 3,000 orang. Sebahagian daripada mereka maut dalam kebakaran meletus selepas gegaran kuat itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




