Penyanyi Rap Dakwa Dirakam Pegawai PBT Ketika Berurut

Penyanyi Rap Dakwa Dirakam Pegawai PBT Ketika Berurut

Penyanyi rap, Zameera mendakwa seorang pihak berkuasa (PBT) telah merakamnya secara rahsia ketika sedang berurut di sebuah premis di Subang Jaya.

Menerusi ciapan di platform X, Zameera atau nama lengkapnya Sharifah Zameera Al Edros Syed Zafilen menceritakan keadaan ketika itu dia terdengar bunyi bising oleh beberapa lelaki yang mendakwa mereka adalah penguat kuasa.

“Sewaktu berurut, entah dari mana saya terdengar langsir bilik saya terbuka dan apabila saya menoleh, saya ternampak seorang lelaki berkaca mata hitam memegang kamera telefonnya dan merakam video saya.

“Saya terkejut, tukang urut saya terus kata ini bilik perempuan dan selepas berkata demikian lelaki itu masih merakam saya dengan telefonnya apabila saya berpaling semula kepadanya.

“Saya terus bangun dan menjengah kepala dari tirai dan menjerit. Kemudian, saya ternampak ada kira-kira 10 hingga 15 pegawai PBT lelaki dengan muka yang tidak bersalah berada di luar.

“Saya terus memakai pakaian dan melangkah keluar serta mula merakam sebelum menyoal mereka tentang siapa yang merakam saya,” katanya.

Dalam perkongsian sama, penyanyi rap berusia 29 tahun ini berkata pegawai berkuasa berkenaan memberi alasan mengatakan mereka hanya menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Sebagai pegawai PBT, kau masuk premis urut yang terang-terang ada untuk lelaki & perempuan, mesti lah buat pengumuman yang kau ada di situ.

“Bahagian mana dalam menceroboh privasi pelanggan dengan merakam rakaman video semasa mereka berbogel sepenuhnya adalah beretika?

“Mana pegawai perempuan? Kalau betul lah ini SOP korang, takkan tak ada pegawai wanita untuk ‘handle’ kes yang berkaitan dengan wanita.

“Ini aib aku lah gila, bukan main selamba korang nak ‘menjalankan tugas’ ‘dengan minda korang yang kotor itu, disgusting,” ujarnya.

Bagaimanapun, Zameera berkata dia sudah membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut.

Scroll to Top