sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki profesional negara, Wong Tat Meng menyifatkan tempoh 18 bulan bersama Lee Zii Jia adalah satu momen yang begitu besar dalam kariernya.
Jelasnya, apabila diberikan tugas untuk membimbing Zii Jia, perkara pertama adalah merangka strategi untuk membantu pemain itu mendapatkan kembali rentak dan terus bersaing dalam kelompok teratas dunia.
Selain itu, Tat Meng juga berasa bangga apabila berjaya menjadi sebahagian individu penting dalam perjalanan bekas juara Seluruh England itu.
“Ketika mula melatih Zii Jia, fokus ialah membantu dia menemui semula prestasi dan keyakinannya. Menjalani latihan dan bekerja keras berjam-jam demi mencapai kejayaan yang bermakna.
“Kita berjaya mengembalikan ranking dunianya ke kedudukan 10 terbaik, memenangi gelaran penting dan melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sungguh memuaskan apabila melihat dia bukan sahaja berjaya mendapatkan tempat dalam kelompok lapan terbaik dunia menjelang Paris 2024 tetapi juga meraih pingat gangsa.
“Detik itu menjadi bukti ketabahan dan keazamannya dan saya berbangga dapat memainkan peranan dalam pencapaiannya,” katanya menerusi Instagram miliknya.
Semalam, Team LZJ memaklumkan tugasan terakhir jurulatih berusia 57 tahun itu adalah pada Jelajah Dunia Akhir BWF sebelum kontraknya tamat pada 31 Disember ini.
Antara sumbangan Tat Meng buat Zii Jia adalah membantu pemain itu muncul juara di Terbuka Arctic 2023, Terbuka Thailand (2024), Terbuka Australia (2024) dan paling manis memenangi pingat gangsa di Paris 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




