Selangor teliti pelaksanaan pengurangan sewa ruang niaga PBT

Selangor teliti pelaksanaan pengurangan sewa ruang niaga PBT

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyemak pelaksanaan pengurangan sewa di premis-premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melindungi industri yang menerima impak paling besar akibat krisis di Asia Barat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya turut menyediakan bantuan kepada usahawan di bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) melalui koperasinya (Kohijrah)

“Kita juga akan mengambil kira golongan penjaja, peniaga kecil, dan peruncit kerana mereka merupakan barisan hadapan ekonomi harian rakyat dari segi bahan mentah serta makanan dan minuman.

“Ini penting supaya sebarang kesan inflasi bagi barang keperluan asas dapat dikawal dan rakyat dapat dilindungi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pertengahan bulan lalu, beliau mengumumkan pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dengan peruntukan sebanyak RM130.42 juta yang dirangka bagi mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat, mengawal inflasi, meningkatkan pengangkutan awam dan memberi bantuan kepada golongan paling terkesan.

Susulan itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi turut menyediakan pelan sokongan kepada lebih 62,000 usahawan di bawah program Plaform Selangor (Plats) dengan memberi bantuan responsif melalui Hijrah iaitu pembiayaan sehingga RM3,000 dengan tempoh bayaran balik selama 12 bulan tanpa faedah.

Langkah-langkah tersebut kemudian dipuji oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri mengurangkan kadar sewa bagi premis-premis di bawah PBT dikurangkan terutama melibatkan perniagaan kecil, penjaja dan kedai-kedai makan.

Amirudin berkata, bantuan atau sokongan kepada usahawan-usahawan kecil penting bagi memastikan kesan inflasi dapat dikawal selain keperluan asas rakyat dapat dilindungi.

“Kita juga akan mengambil kira golongan penjaja, peniaga kecil, dan peruncit kerana mereka merupakan barisan hadapan ekonomi harian rakyat dari segi bahan mentah serta makanan dan minuman,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top