am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Solat Subuh di Masjid As-Syakirin Mukim Kelewek di sini, pagi tadi dikejutkan dengan pemergian seorang jemaahnya ketika sedang bersujud.
Allahyarham Razmi Mohd Nor, 66, yang juga pesara tentera tiba-tiba rebah ketika bersujud di rakaat pertama kira-kira jam 6.09 pagi tadi sebelum dibantu beberapa jemaah lain.
Menurut wakil masjid terbabit, Mohd Al-Muntaqim Noor, arwah sememangnya jemaah tetap masjid itu dan sentiasa hadir untuk solat berjemaah.
“Ketika jemaah sedang menunaikan solat (Subuh), arwah disedari tidak bangun dari sujud untuk meneruskan rakaat kedua.
“Ketika dalam posisi masih sujud, arwah tiba-tiba rebah dan tiga jemaah berdekatan segera membatalkan solat masing-masing bagi memberikan bantuan serta memeriksa keadaan arwah.
“Arwah disahkan meninggal dunia oleh kakitangan kesihatan yang hadir,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, anak arwah, Mohd Alif Razmi, 27, berkata, dia menerima berita pemergian bapanya sebaik dihubungi ahli keluarga dan terus memandu pulang dari Selangor ke kampung halaman.
Dia berkata, bapanya tidak mempunyai masalah kesihatan yang kronik melainkan menghidap angin pasang dan pernah diserang strok ringan dua tahun lalu.
“Memang agak mengejutkan dengan kematian ayah tapi dalam masa sama sangat bersyukur kerana pemergiannya dalam keadaan yang cantik iaitu ketika solat.
“Saya pun tak tahu apa amalan ayah sehingga Allah memilihnya untuk pergi dalam keadaan sebegitu tapi apa yang saya tahu, arwah seorang yang dermawan.
“Dia seorang yang tidak kedekut dan sering membayarkan makan minum sesiapa sahaja ketika berada di kedai kopi dan sentiasa berjemaah memandangkan jarak rumah juga tidak jauh, kurang 300 meter sahaja dari masjid,” katanya.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelewek, di sini, jam 2.30 petang tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




