am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melakukan penambahbaikan operasi ketika bencana banjir bagi menghadapi gelombang seterusnya berdasarkan situasi gelombang pertama di Kelantan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, melalui post mortem (penilaian pasca kejadian), perkara utama yang perlu dilakukan ialah menyelaraskan logistik di semua agensi bagi membolehkan operasi menyelamat mangsa dilakukan dengan cepat.
“Berdasarkan penilaian awal yang dilakukan di Rantau Panjang, kita tidak menjangka air naik secara mendadak sehingga menyebabkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui selepas Program Lawatan Turun Padang Operasi Banjir Monsun Timur Laut (MTL) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, keseluruhan persiapan banjir kali ini teratur dan seramai 82,000 anggota pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi sudah berada di lapangan dan bersiap sedia menghadapi banjir gelombang seterusnya.
Beliau berpuas hati dengan semua persiapan dan gerak kerja yang sudah dilakukan oleh semua agensi penyelamat sama ada di lapangan mahupun peringkat operasi negeri di lokasi yang terjejas banjir.
© New Straits Times Press (M) Bhd



