am@hmetro.com.my
Kuching: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sedang membuat ‘projek’ untuk meningkatkan kecekapan pegawai dan anggotanya bagi mendepani cabaran yang semakin getir dalam memerangi pengedaran dadah.
Ia termasuk bagi menghadapi pelbagai taktik baharu penyeludup yang memanfaatkan teknologi terkini seperti dron dan kecerdasan buatan (AI).
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sentiasa mencari kaedah baharu yang diyakini berkesan untuk memantapkan keupayaan bagi menangani cabaran itu.
Bagaimanapun katanya, kaedah yang mereka sedang dan akan laksanakan tidak dapat dihebahkan kepada umum kerana ia adalah rahsia pasukan.
“Ya…memang ada dan kita tengah buat projek (operasi khas) tetapi saya tak boleh cerita semua itu di sini.
“Nanti kalau dia (sindiket penyeludup dadah) tau kita punya MO (modus operadi) nak buat, habislah kita punya tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bil.73 Siri 8/2024 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching di Jalan Puncak Borneo di sini, hari ini.
Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman Datuk Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar dan Komandan Pulapol Kuching Senior Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali.
Kok Chin mengakui terlalu banyak cabaran dalam menangani jenayah dadah termasuk pelbagai taktik untuk menyeludup antara wilayah di negara ini sebelum mengedarkannya pula ke negara ketiga.
“Malaysia menjadi transit penyeludupan dadah rantau ini dengan bekalan diseludup dari negara jiran (Segitiga Emas) melalui negeri di utara Semenanjung dan kemudian mereka menggunakan pelbagai cara pula untuk menyeludupnya ke Sarawak.
“Apabila berjaya lolos di Sarawak, penyeludup akan berusaha pula mengedarkannya ke negara jiran kerana permintaan di sana yang cukup tinggi selain nilainya meningkat berkali ganda,” katanya.
Menurutnya, beliau baru sahaja mengunjungi Indonesia dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa pencegahan narkotik di negara itu.
“Dalam perbincangan itu saya dimaklumkan harga syabu yang diseludup dari Malaysia (Sarawak) mencapai harga RM450,000 satu kilogram (kg) sedangkan di negara kita harganya kira-kira RM33,000.
“Ini yang mendorong sindiket untuk menyeludup bahan itu dari Semenanjung ke Sarawak seterusnya dihantar ke destinasi di Kalimantan,” katanya.
Katanya, JSJN mendapatkan kerjasama unit lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk melakukan pemeriksaan mengejut di lapangan terbang serta pelabuhan di Sarawak.
“Apabila terlepas daripada pemeriksaan di lapangan terbang di Semenanjung, penyeludup akan membawa bagasi mereka keluar dari balai ketibaan tanpa melalui pemeriksaan.
“Sebab itu kita meletakkan elemen narkotik dan PGA di lapangan terbang untuk membuat pemeriksaan mengejut apabila menerima maklumat adanya penyeludupan melalui udara,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri perbarisan tamat latihan seramai 338 pelatih konstabel wanita yang menjalani latihan di Pulapol Kuching sejak Jun lalu.
Mengenai penyertaan pelatih bukan Bumiputera khususnya Cina, Kok Chin berkata, untuk pengambilan tahun ini seramai 45 belia Cina menamatkan latihan di semua lapan Pulapol seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 12 orang menjalani latihan asas inspektor, lima menjalani latihan asas sarjan dan 31 lagi konstabel.
“Ini menunjukkan memang ada penyertaan belia kaum Cina dan kita menerima banyak permohonan namun ia perlu ditapis dengan teliti bagi memastikan menepati kriteria yang diperlukan.
“PDRM memang sentiasa menggalakkan belia bukan Bumiputera untuk menyertai pasukan dan kami menjalankan promosi berterusan untuk menarik mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




