syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Zahirah Macwilson meluahkan rasa syukur dan gembira apabila ibunya, Maslinda Yusoff kini sudah mula mengenakan hijab sepenuhnya.
Bukan itu sahaja, Zahirah, 31, turut berkongsi khabar gembira bahawa ibunya bakal berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji buat kali pertama pada Mei ini.
“Ya, saya tumpang gembira untuk ibu. Ini adalah sesuatu yang dia memang dah cakap beberapa bulan lepas yang dia berniat nak bertudung dan akan menunaikan Haji buat kali pertama tahun ini.
“Jadi doakan ya, Insya-Allah. Saya gembira untuk dia dan dia nampak sangat-sangat gembira,” katanya kepada Harian Metro.
Zahirah ketika ditemui pada tayangan episod pertama siri Good Boys Go To Heaven lakonannya berkata, sebagai anak, dia menyokong penuh perubahan positif ibunya itu dan turut menyimpan impian untuk mengikut jejak langkah yang sama suatu hari nanti.
“Sudah tentu (menyokong), benda yang baik kan. Insya-Allah kita, bagi saya pun berharap untuk berada di sana satu hari nanti ke arah situ. Jadi untuk dia bersedia sekarang, Alhamdulillah,” katanya.
Disoal mengenai perasaan bimbang untuk berpisah sementara memandangkan ibunya bakal menunaikan ibadah itu, Zahirah mengakui perasaan itu tetap ada namun dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada perlindungan Allah SWT.
“Sudah tentu ada (rasa sedih dan bimbang). Tetapi saya rasa Allah lebih mengetahui dan Dia ada di sana melindungi ibu saya.
“Dia (Allah) akan membimbingnya dan apa jua yang berlaku, Allah ada. Jadi insya-Allah dia akan baik-baik sahaja,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu memohon orang ramai agar turut sama mendoakan urusan ibadah haji ibunya berjalan lancar dan dipermudahkan segalanya.
Terbaharu, drama Good Boys Go To Heaven lakonannya bakal ditayangkan bermula 8 Mei di saluran Astro Ria dan Astro Citra.
Selain Zahirah, drama thriller psikologi arahan pengarah Ariff Zulkarnain itu turut dibintangi Beto Kusyairy, Firdaus Karim, Malek McCrone, Amerul Affendi, Amanda Ang, Sky Iskandar dan juga bintang kanak-kanak, Sayf Mikael.
© New Straits Times Press (M) Bhd




