sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah bakal menghadapi laluan berliku untuk mara ke peringkat seterusnya selepas diundi berada dalam kumpulan sukar pada kejohanan Jelajah Akhir Dunia BWF yang akan bermula pada Rabu depan.
Dalam undian yang berlangsung hari ini, Pearly-Thinaah akan bersama-sama dengan pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun (nombor empat dunia) serta beregu India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela (ke-13 dunia) berada dalam Kumpulan A.
Melihat perkara sedemikian, ia seakan-akan skrip hampir sama seperti Sukan Olimpik Paris 2024 apabila waktu itu mereka turut berada dalam kumpulan maut tetapi berjaya mempamerkan persembahan cemerlang untuk mara sehingga ke separuh akhir.
‘
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia juga dilihat bakal berdepan jalan berliku apabila berada dalam Kumpulan A bersama-sama pemain nombor dua dunia dari Denmark, Anders Antosen, wakil Taiwan dan Chou Tien Chen (kesembilan dunia) dan juara Masters Jepun dari China, Li Shi Feng (keenam dunia).
Melihat prestasi semasa Zii Jia yang kurang konsisten, sudah pasti ia akan memberi cabaran sengit untuk dirinya untuk melepasi peringkat kumpulan.
Bagi dua wakil Malaysia dalam beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa berdepan sesama sendiri lebih awal apabila diletakkan dalam kumpulan yang sama.
Wakil Indonesia Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja dan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun akan menjadi lawan buat mereka dalam Kumpulan B.
Nasib berbeza dialami oleh beregu lelaki Malaysia apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berada dalam kumpulan sama.
Sze Fei-Izzuddin yang dilihat berada dalam prestasi terbaik sejak beberapa bulan terakhir ini bakal menerima cabaran daripada juara Olimpik dua kali Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan serta rakan senegaranya, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
Beregu nombor nombor tiga dunia yang juga pilihan pertama kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen bakal menjadi lawan sukar buat mereka apabila turut berada dalam kumpulan A.
Bagi Aaron-Wooi Yik yang berada dalam Kumpulan B pula akan menentang dua wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani serta pilihan kedua iaitu gandingan China, He Jiting-Ren Xiangyu.
Sebagai rekod, sepanjang enam edisi lalu, masih belum ada wakil Malaysia yang pernah muncul juara dalam kejohanan Jelajah Dunia Akhir itu.
Untuk pertandingan itu, dua wakil terbaik dalam setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan berpeluang untuk merebut hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.04 juta).
© New Straits Times Press (M) Bhd




