Trisha diangkat Pelakon Wanita Harapan

Trisha diangkat Pelakon Wanita Harapan

fatin.farhana@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Trisha Ooi meraih trofi pertama apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33.

Trisha menerima trofi menerusi lakonannya dalam filem Janna Endoro arahan Sham Jr yang mengetengahkan isu dianggap tabu dan sensitif oleh masyarakat antaranya, babak bermain judi, suami malas kerja, makan hasil titik peluh isteri, penderaan emosi dan fizikal isteri dan penyeludupan senjata di kawasan sempadan.

Trisha ketika meluahkan perasaannya mengakui gementar.

“Syukur, Alhamdulillah, terima kasih kepada ‘mommy’ yang sedang tengok di rumah dan dialah yang banyak mendoakan saya.

“Terima kasih kepada produksi Double Channel yang percayakan bakat saya dan terima kasih juga kepada yang mereka pernah bekerjasama dengan saya.

“Anugerah ini adalah tanggungjawab untuk saya memberikan yang lebih besar selepas ini,” katanya.

Janna Endoro mengisahkan Janna seorang isteri yang patuh dan taat kepada suaminya, Mat Dat. Mereka mempunyai anak perempuan, Dhia berusia 3 tahun.

Walaupun Janna bekerja membantu menyara keluarga, namun selalu dimarahi dan dipukul oleh suaminya.

Mat Dat adalah lelaki panas baran, kerja tidak menentu, kaki ‘lalok’, tahi judi dan berhutang sehinggakan menjadi buruan ceti haram.

Mat Dat turut memaksa Janna menjual maruah untuk membayar hutang. Disebabkan hutang, anak mereka menjadi mangsa culik.

Selain Trisha, filem terbitan Double Channel Sdn Bhd itu turut dibarisi pelakon handalan seperti Pekin Ibrahim, Mohd Asrulfaizal, Wan Hanafi Su, Josiah Hogan, Zoee Tan, Kamarool Hj Yusoff, Zalfa Zin, ZZ Zamrie dan Danie X-Factor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top