redzuan.muharam@hmetro.com.my
Pekan: “Sebelum ini suami yang cari rezeki dan banyak bantu saya uruskan anak.
“Kini giliran saya pula menjaga suami walaupun masih dalam tempoh berpantang dan saya akan terus setia dengannya,” kata Nora Jamaluddin, 36, yang diuji apabila suaminya, Mohd Nor Shafiq Mat Tahar, 37, diserang angin ahmar pada bahagian kiri badan, 3 Ogos lalu.
Lebih menyedihkan Nora yang menetap di Felda Chini, dekat sini, berdepan ujian itu dua hari sebelum melahirkan anaknya yang keenam.
Berkongsi kisah itu, Nora berkata, kejadian berlaku ketika suami dalam perjalanan menghantarnya ke hospital.
“Tapi dia (suami) pun dimasukkan ke hospital dan menurut doktor, ia berpunca daripada tekanan darah tinggi.
“Mencabar waktu itu kerana dalam keadaan sarat, saya perlu pergi dan pulang dari hospital dengan menaiki bas semata-mata untuk menjaga suami di wad.
“Tapi syukur kerana Allah SWT permudahkan saya bersalin, malah berpeluang menjaga suami di wad sebelum dia dibenarkan pulang ke rumah,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, keadaan Mohd Nor Shafiq kini stabil namun kaki masih lemah dan buat masa ini, dia yang perlu menguruskan segala keperluan suaminya itu.
“Suami belum boleh berdikari, jadi saya kena menjaga, memantau dan menguruskannya di rumah walaupun kena menjaga anak termasuk bayi yang baru lahir.
“Saya suri rumah sepenuh masa, jadi setakat ini dapat bahagikan masa dengan baik dan syukur kerana anak faham serta tak meragam.
“Saya harap saya terus kuat dan akan menjaga suami hingga dia kembali sembuh,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nor Shafiq bersyukur kerana isteri banyak membantunya yang masih belum boleh menguruskan diri.
“Syukur juga kerana Allah SWT masih izinkan saya bernafas, cuma buat masa ini nak berjalan pun tak terdaya.
“Saya pun terpaksa ambil cuti dan risau jika terpaksa berehat lama kerana bukan kerja tetap, sebaliknya bekerja sebagai pekerja ladang di bawah sebuah syarikat dan bergantung dengan gaji harian.
“Jadi, saya berharap sangat untuk sembuh kerana biar penat bekerja daripada terus terlantar seperti sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
