am@hmetro.com.my
Kota Marudu: Lelaki yang hilang di sungai Kampung Tambun, di sini, sejak seminggu lalu ditemukan lemas di sungai berkenaan, hari ini.
Mayat Pencen Gundiar@Pyron, 69, ditemui jam 5.30 petang tadi di lokasi kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dari Sungai Tambun menyelusuri Sungai Bandau dengan kaedah di permukaan air menggunakan bot penyelamat.
“Mangsa ditemui pada jam 5.30 petang oleh orang awam tepi sungai, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya.
Terdahulu, Pencen Gundiar@Pyron dikatakan keluar dari rumah pada Ahad lalu dan disedari tidak pulang selepas tiga hari.
Keluarga mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu sebelum anggota polis membuat pencarian awal di sekitar kampung berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




