Ambil iktibar RCI Tabung Haji – Tok Mat

am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berharap semua pihak terutama pengurusan Tabung Haji (TH) dapat mengambil iktibar daripada kelemahan tadbir urus yang dilaporkan menerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan baru-baru ini.

Beliau berkata, aspek tata kelola dalam sesebuah institusi perlu diperkasa dan diperketatkan bagi mengelak perkara yang boleh memudaratkan institusi itu berulang pada masa hadapan.

“Pengurusan Tabung Haji yang ada sekarang ini perlu mengambil iktibar supaya kelemahan tata kelola kerja di dalam organisasi itu perlu diperkasa dan diperketatkan.

“Ia penting supaya tidak ada lagi berlakunya perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesuatu institusi, lebih-lebih lagi ia membabitkan kepentingan jutaan orang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program Ziarah Kasih di Taman Pinggiran Senawang, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pelantikan orang politik dalam organisasi seperti TH telah menjurus kepada masalah, Mohamad berkata, latar belakang politik seseorang tidak seharusnya menjadi ukuran untuk menghalang individu berkenaan daripada dilantik ke jawatan berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata kesesuaian seseorang untuk memegang jawatan perlu dinilai berdasarkan latar belakang, kebolehan, kelayakan dan integriti individu terbabit.

“Mereka tak boleh kita cakap serkap jarang semua. Kita tak boleh pukul rata atau buat kenyataan ‘blanket statement. Ada orang politik yang berjaya mengurus.

“Saya dulu mengurus (syarikat kereta) sekejap, tapi tak pernah ada apa-apa. Jadi kita tak boleh kata orang politik (tak bagus).

“Orang yang tidak berpolitik pun kadang-kadang dalam organisasi mereka lagi teruk, lagi banyak hal yang dilakukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top