Geng kaki pancing 'nenek-nenek'

Geng kaki pancing 'nenek-nenek'

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Minat yang sama mendorong tiga nenek dari Kampung Betong dekat sini, menjadikan hobi memancing satu aktiviti riadah buat mereka sejak 24 tahun lalu.

Asiah Wahab, 51, ibu lima cahaya mata dan nenek kepada lima cucu berkata, dahulu kumpulannya bertujuh kini hanya tinggal bertiga berikutan ada yang sudah meninggal dunia dan ada yang semakin uzur.

Menurutnya, aktiviti memancing dalam kalangan wanita sudah lama di kampung itu berikutan kedudukan kampung yang mempunyai sungai dan jeram.

Katanya, minat itu timbul apabila melihat penduduk yang memancing di sungai kemudiannya membawa pulang hasil tangkapan mereka.

“Secara tidak langsung timbul minat untuk mencuba aktiviti berkenaan bersama-sama rakan wanita lain yang pada mulanya hanya menggunakan joran diperbuat daripada buluh.

“Sungai yang jernih dan bersih ditambah tidak begitu dalam dengan suasana kampung yang damai amat menyeronokkan untuk melakukan aktiviti itu,” katanya.

Menurutnya, tiada halangan daripada suaminya, Mohd Rosman, 54, yang ada ketikanya membawa kumpulannya yang terdiri daripada ‘nenek-nenek’ itu memancing di sekitar Tasik Kenyir.

Rakannya, Zah Muda, 70, ibu kepada empat anak dan empat cucu berkata, biasanya kumpulannya itu akan berjalan sejauh 2.5 kilometer ke sungai bagi melakukan aktiviti memancing.

“Dapat memegang joran pun sudah merasai nikmatnya kerana ia sekadar hobi dan kami tidak terlalu fokus kepada hasil yang diperoleh.

“Jika ada rezeki ikan yang diperoleh akan dijadikan hidangan dan biasanya spesies ikan seperti kelah, baung, lampam dan terbo biasanya diperoleh,” katanya.

Menurutnya, aktiviti memancing dalam kalangan kumpulannya terpaksa dihadkan selepas Covid-19 kerana kekurangan rakan yang semakin uzur dan tidak kurang ada yang sudah pergi meninggalkan kami.

Katanya, walaupun sudah berusia dan terdiri daripada wanita namun aspek keselamatan amat diambil berat dalam melakukan aktiviti berkenaan terutama bagi mengelak kejadian kepala air dan ancaman haiwan berbisa.

Bagi Bidah Hassan, 76, pula berkata, kalau dia ke sungai selepas waktu solat Asar dan sebelum Maghrib mereka akan pulang.

“Sekiranya kami pergi ke sungai selepas waktu Maghrib, kami akan pulang pada 10 atau 11 malam.

“Memang seronok, kerana bukan sekadar memancing kami juga dapat berbual-bual terutama mengenai perihal memancing dan hasil yang pernah diperoleh.

“Pelbagai kenangan ketika kami bersama melakukan aktiviti memancing ini, antaranya joran direntap ikan ke dalam sungai, usik mengusik menjadikan suasana semakin meriah,” kata ibu kepada sembilan anak dan 30 orang cucu.

Menurutnya, dahulu boleh dikatakan setiap hari mereka akan ke sungai untuk memancing namun kini memandangkan usia kalangan kami semakin meningkat selain faktor kesihatan mendorong kami mengurangkan aktiviti ini.

Katanya, selepas banjir merupakan waktu paling sesuai untuk memancing kerana air mulai surut dan ikan mudah untuk diperoleh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top