BAM disiasat: 6 individu sudah dipanggil SPRM

BAM disiasat: 6 individu sudah dipanggil SPRM

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Enam individu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan salah laku pegawai tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil elaun tanpa kelulusan Ahli Majlis badan induk berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berkenaan masih dijalankan dan ia tidak membabitkan organisasi terbabit sebaliknya ia hanya membabitkan individu sahaja.

“Setakat ini enam individu sudah dipanggil dan siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang media pada Program Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Kelana Jaya di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, kepimpinan tertinggi BAM disiasat SPRM dan kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan surat layang yang dihantar kepada SPRM menjadi punca BAM disiasat apabila isi kandungan surat layang itu mendakwa wujud salah laku membabitkan pegawai tinggi BAM yang didakwa mengambil elaun tanpa kelulusan Ahli Majlis badan induk itu.

BAM dalam satu kenyataan mengesahkan pegawai SPRM mengunjungi pejabat badan induk itu minggu lalu bagi mendapatkan maklumat tertentu dan memaklumkan badan induk itu memberikan kerjasama penuh sepanjang kehadiran pegawai berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top