sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Sri Pahang FC akan tampil dengan kesebelasan terbaik apabila bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk menentang Perak FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat ini.
Penjaga gol skuad Tok Gajah, Zarif Irfan Hashimuddin, berkata, ini kerana pada pertemuan Liga Super yang menyaksikan Sri Pahang tewas 0-3 di Temerloh, skuad itu tanpa tiga pemain import.
“Ketika kami tewas di Temerloh, Sri Pahang tidak dapat menyenaraikan tiga pemain import dan saya juga tidak bermain pada perlawanan itu. Dengan barisan pemain terbaik, saya percaya tentangan akan diberikan kepada pasukan tuan rumah untuk memastikan keputusan positif sebelum dibawa pada suku akhir kedua ke Temerloh nanti,” katanya.
Pada masa sama, Zarif Irfan berkata, skuad itu akan lebih fokus kepada pemain import dari Brazil, Clayton da Silva yang dilihat mampu memberi ancaman.
Namun, katanya, pemain di posisi lain juga perlu diberikan perhatian untuk memastikan Sri Pahang mendapat bekalan selesa di tempat lawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
