Sasaran NSFC tempat kelima Liga Super boleh direalisasikan – Ismail

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) percaya pencapaian lebih baik mampu dicapai pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2026/2027 menerusi penampilan pemain baharu dan lama yang dikekalkan, bagi menghadapi cabaran berkenaan yang bakal membuka tirainya pada 22 Ogos ini.

Menteri Besar merangkap Pengerusi NSFC, Datuk Ismail Lasim, menegaskan bahawa kekuatan Negeri Sembilan kali ini dilihat lebih baik terutama dengan kehadiran beberapa pemain import berpengalaman dan pemain kebangsaan yang menganggotai pasukan.

“Berikutan itu, kita berani meletakkan sasaran pencapaian dalam Liga Super musim 2026/27 di tempat kelima ke atas berbanding musim lalu di tempat ketujuh.

“Dengan semangat baharu kita mampu mencapai sasaran ditetapkan itu. Walaupun saya belum dapat menyaksikan kekuatan dan persembahan sebenar mereka, namun saya yakin dengan kemampuan pasukan Negeri Sembilan kali ini untuk memberikan cabaran terbaik dengan pasukan lain sepanjang musim.

“Saya berharap pemain yang diberikan amanah dapat memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjulang nama pasukan dalam liga bola sepak berprestij tempatan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan NSFC musim baharu 2026/27 sempena Hari Bolasepak Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Timbalan Presiden PBNS, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Ismail mahu penyokong skuad Hobin Jang Hobin dapat memberikan sokongan padu terhadap pasukan ini dalam misi melakar kejayaan sama ada pada saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

Menurutnya, walaupun skuad bimbingan Daniel Giménez Alcañiz ini bakal Berhadapan sedikit kesukaran apabila beraksi pada sebelah petang pada pusingan pertama Liga Super susulan kerja menaik taraf lampu limpah sedang dilaksanakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, ia diharap tidak menjejaskan kehadiran ramai penyokong ke stadium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top