mohamadridzuan@hmetro.com.my
Bukan satu perkara mudah untuk Rockstage Entertainment menganjurkan Konsert Creation Attack yang menampilkan kumpulan death metal, Malevolent Creation dari Amerika Syarikat.
Lokasi asal yang dirancang tidak dapat digunakan sehingga mereka berkira-kira untuk membatalkannya. Namun, jalan penyelesaian ditemui apabila Raja Laut Ballroom, Hotel Ideas Kuala Lumpur menjadi pilihan pada saat-saat akhir.
Ternyata pilihan ini sangat tepat apabila lokasi ini diserbu peminat bagi menyaksikan pertempuran dua legenda ekstrim metal, Malevolent Creation dan Sil Khannaz, legenda metal Malaysia pada 30 November lalu.
Ruang yang agak kecil memaksa Rockstage Entertainment mengehadkan penjualan tiket sebanyak 300 saja bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini dari berlaku.
Tepat jam 8 malam, Sil Khannaz diberi tanggungjawab besar untuk membuktikan bahawa Malaysia juga punya band yang berkualiti. Jaei (penyanyi) Hashim (bass), Dark E (gitar), Roy (gitar) dan Adjheez (dram) sudah menampilkan aksi bertenaga yang memukau peminat.
Pengalaman lebih 30 tahun di atas pentas dimanfaatkan mereka bagi memberikan kepuasan kepada peminat yang hadir menyokong.
Sil Khannaz tampil membawakan lagu Sinner Burning Without Humanity, Santapan Terakhir Raja Bersiong, Catatonia dan Mohing Asang menjadi pelengkap kepada persembahan mereka.
Jaie berjaya mencuri perhatian apabila mengenakan hiasan kepala khas Dayak, satu penghormatan istimewa kepada suku kaum Dayak Borneo, sekali gus melenyapkan persepsi negatif terhadap muzik ekstrem metal.
Ini membuktikan bahawa muzik hanyalah ‘santapan’ halwa telinga, manakala budaya dan sejarah sesebuah kaum di Malaysia tetap disanjung tinggi.
Giliran Malevolent Creation mengambil kedudukan di atas pentas dengan penampilan Phil Fasciana (gitar), Ronnie Parmer (dram) dan Jesse Jolly (bass).
Mereka membawakan lagu-lagu yang pantas dan bertenaga antaranya Infernal Desire, diikuti Living in Fear dan Blood of the Fallen.
Kehangatan diteruskan lagi dengan lagu Manic Demise, Release the Soul, Mandatory Butchery dan Alliance Or War. Lagu-lagu ini membangkitkan semangat penonton yang tidak berhenti bersorak dan beraksi di mosh pit.
Tidak ketinggalan, Malevolent Creation turut tampil dengan lagu-lagu ikonik mereka seperti Eve of the Apocalypse, Coronation of Our Domain, Multiple Stab Wounds dan Malevolent Creation yang menutup persembahan dengan penuh bermakna.
Creation Attack Malevolent Creation VS Sil Khannaz memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh peminat yang hadir.
Pengurus Rockstage Entertainment, Talib Othman berkata, dia berpuas hati dengan penganjuran konsert ini yang berjalan lancar.
“Terima kasih kepada pengikut kami yang sering menyokong setiap acara yang dianjurkan sekali gus dapat merealisasikan mimpi peminat Malevolent Creation di Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

