Kuala Lumpur: Enam akaun bank yang dimiliki anak syarikat milik penuh Khee San Bhd, iaitu Khee San Food Industries Sdn Bhd (KSFI) dibekukan susulan siasatan yang dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Menurut syarikat pembuat gula-gula itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KSFI menerima makluman pada 21 Ogos bahawa enam akaun yang diselenggarakan dengan sebuah bank telah dibekukan susulan siasatan tersebut.
“Kesemua akaun ini digunakan secara aktif untuk menyokong operasi harian kumpulan,” menurut syarikat itu.
Khee San turut memaklumkan bahawa ia telah mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikan perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung sebarang siasatan.
Selain itu, tambah syarikat itu, pembekuan akaun tersebut dijangka mengakibatkan sedikit gangguan kepada operasi kumpulan berdasarkan maklumat yang diberikan kepada lembaga pengarahnya.
“Bagaimanapun, lembaga pengarah berpendapat pada ketika ini, perkara itu dijangka tidak memberi kesan kewangan yang ketara kepada kumpulan tersebut,” katanya.
Tambah Khee San lagi, ia akan membuat pengumuman selanjutnya apabila terdapat perkembangan terbaharu berhubung perkara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

