Girona tekad berjuang hingga saat akhir

Girona tekad berjuang hingga saat akhir

Girona: Pengendali Girona, Michel, menegaskan pasukannya akan terus berjuang hingga saat akhir walaupun harapan untuk mara ke pusingan seterusnya Liga Juara-Juara semakin tipis selepas tewas tipis 0-1 kepada Liverpool.

Girona mengalami kekalahan kelima dalam kempen ini selepas Mohamed Salah menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti pada babak kedua, dalam aksi sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan memberikan tentangan seimbang.

Ketika ini, Girona menghuni tangga ke-30 dengan tiga mata, empat mata di belakang tempat terakhir play off.

Dengan baki dua perlawanan menentang AC Milan dan Arsenal, perjalanan sulung Girona di Liga Juara-Juara kelihatan hampir berakhir.

“Kelihatan sukar untuk mara, tetapi selagi ada peluang sekecil mana pun, kami akan terus berjuang,” kata Michel kepada wartawan.

“Kami akan bertanding dalam baki dua perlawanan, menikmatinya, dan mencari kemenangan dalam kedua-duanya.”

Walaupun kecewa dengan kekalahan, Michel tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

“Kami bersaing dengan baik, memenuhi objektif saya untuk mengawal kawasan-kawasan penting, dan cuba membuatkan pertahanan tengah Liverpool kekurangan rujukan untuk dijaga, supaya kami boleh mencari pemain bebas,” jelasnya.

“Kami mencipta peluang, terutama untuk Danju (Arnaut Danjuma). Kami memberikan persembahan yang baik, tetapi niat kami adalah untuk menang.”

Pemain Girona, Miguel Gutierrez, turut menyokong pandangan jurulatihnya.

“Ini adalah proses pembelajaran. Kami bermain setiap tiga hari, merentas Eropah, dan itu memberikan pengalaman yang besar,” katanya.

“Tapi dengar sini, kami belum tersingkir lagi. Selagi kami belum tersingkir secara matematik, kami akan terus berjuang.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top