sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bermula langkah kanan selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam perlawanan pertama Kumpulan B pada Jelajah Dunia Akhir BWF hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu, Tang Jie-Ee Wei dipaksa bekerja keras sebelum bangkit dalam dua set terakhir untuk menang 14-21, 21-10, 21-14 dalam masa 50 minit.
Dalam perlawanan pertama itu, kedua-dua pasangan jelas kelihatan tercari-cari rentak pada awalnya permainan sebelum Soon Huat-Shevon mengambil peluang atas beberapa kesilapan mudah pihak lawan untuk menang set pertama.
Namun begitu, juara Terbuka Korea itu kembali memperkemaskan rentak permainan untuk mengurang segala kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku untuk menang mudah dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
“Ini adalah kemenangan yang positif untuk saya dan Tang Jie bagi mengharungi perlawanan yang seterusnya,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Momentum itu diteruskan dalam set ketiga dan corak permainan Tang Jie-Ee Wei dilihat semakin baik untuk mengawal gelanggang sehingga memberi kesukaran kepada Soon Huat-Shevon untuk membalas dan mengimbangi pukulan mereka.
Kemenangan pertama itu memberi kelebihan kepada beregu campuran nombor satu negara itu untuk memburu kedudukan dua terbaik dalam Kumpulan B bagi melangkah ke separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd
