Undang-undang sedia ada memadai untuk memelihara keharmonian antara kaum

Undang-undang sedia ada memadai untuk memelihara keharmonian antara kaum

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perpaduan Negara berpandangan undang-undang sedia ada sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum di negara ini terpelihara.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy berkata, mana-mana individu dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat serta didakwa.

Menurutnya, antara akta yang boleh digunakan adalah Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) iaitu kesalahan menghasut, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan (Akta 574) kesalahan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Selain itu, akta lain adalah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebut perkataan-perkataan atau melakukan perbuatan-perbuatan lain dengan niat sengaja hendak melukakan perasaan agama seseorang.

“Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan, atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai adakah kerajaan bercadang untuk menggubal Akta Keharmonian Negara bagi mengatasi masalah polemik agama yang semakin berleluasa di negara ini.

Mengulas lanjut, Saraswathy berkata, disebabkan itu pihak kementerian berpandangan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu seperti Akta Keharmonian Negara buat masa ini.

“Memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya keadaan mendesak, undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bertujuan mengekang sesetengah ucapan, kenyataan atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top