10 lelaki ditahan terbabit kecurian kabel TM

10 lelaki ditahan terbabit kecurian kabel TM

mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Polis menahan 10 lelaki terbabit dalam kes kecurian kabel di Taman Cheras Indah, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada lelaki berusia 50 tahun pada 12 September lalu berkenaan kabel Telekom Malaysia (TM) dipotong dan dicuri.

Menurutnya, susulan itu bermula kelmarin hingga semalam, polis melakukan beberapa siri serbuan di kawasan Bukit Jalil dan Rawang.

“Polis kemudian menahan 10 lelaki berusia 18 hingga 44 tahun serta membuat rampasan barangan kes yang disyaki digunakan.

“Antara rampasan adalah 54 potongan kabel yang berlabel TM, tiga kenderaan dan beberapa peralatan pemotong kabel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, motif perbuatan mencuri ini adalah untuk dijual semula sebagai barangan lusuh.

“Hasil semakan dapati, sembilan tangkapan mempunyai rekod jenayah dan rekod kesalahan narkotik.

“Ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua tangkapan didapati lima daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya

Katanya, suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 13 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top