Lima juara dunia rebut Anugerah SAM

Lima juara dunia rebut Anugerah SAM
Lima juara dunia rebut Anugerah SAM

(Dari kiri) Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Industri di Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Norazrin Norsyam Yee; Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM 2025, Hazreen Mubarak pada sidang media Anugerah SAM di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Isnin. FOTO: BERNAMA

PERSAINGAN bagi merebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 dijangka sengit apabila lima atlet bertaraf juara dunia daripada lima sukan disenaraikan sebagai calon utama.

Mendahului pencalonan ialah jaguh wushu wanita, Tan Cheong Min yang mencatat pencapaian cemerlang dengan meraih tiga pingat emas pada Kejuaraan Dunia di Brazil tahun lalu.

Atlet berusia 27 tahun itu bakal dicabar beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang muncul juara dunia di Perancis pada Ogos lalu.

Senarai pendek itu turut menampilkan atlet boling padang wanita, Emma Firyana Saroji yang menjuarai Kejohanan Boling Padang Piala Dunia di Stadium Juara, Bukit Kiara, November lalu.

Dua lagi calon ialah jaguh boling lelaki Muhammad Rafiq Ismail yang meraih emas dalam acara berpasukan di Piala Dunia Persekutuan Boling Dunia (IBF) di Hong Kong serta Mohd Abdul Latif Maxzakir dari sukan pencak silat yang menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Sementara itu, saingan bagi Anugerah Atlet Para Terbaik 2025 menyaksikan persaingan sengit antara tiga atlet paralimpik negara iaitu Cheah Liek Hou (para badminton), Bonnie Bunyau Gustin (para powerlifting) dan Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga).

Ketiga-tiga mereka akan berdepan cabaran dua perenang para, Abdul Halim Mohammad yang meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa serta Carmen Lim yang mengumpul dua emas, empat perak dan satu gangsa pada Sukan Para ASEAN di Thailand tahun lalu.

Presiden SAM Norismadi Abd Manap memberitahu sidang media di sini hari ini bahawa pemenang bagi dua kategori utama itu akan menerima wang tunai RM10,000 berserta trofi pada majlis yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel pada 13 Mei ini.

“Anugerah SAM-100PLUS 2025 turut menghargai sumbangan wartawan sukan menerusi penyampaian anugerah bagi enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

“Sementara itu, pemenang keseluruhan bagi kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel,” katanya. -Bernama

Scroll to Top