SAMPAI bila?
Itulah persoalan yang sering perbualan dalam kalangan peminat badminton Malaysia, susulan kegagalan terbaharu skuad negara menamatkan penantian yang terlalu lama untuk memenangi Piala Thomas. pada edisi 2026 di Forum Horsens, yang berakhir semalam.
Kempen Malaysia pada edisi 2026 di Forum Horsens terhenti pada suku akhir selepas tewas 0-3 kepada juara 12 kali, China pada Jumaat lepas, satu keputusan yang sekali lagi memperlihatkan jurang dengan kuasa besar itu.
Pada aksi peringkat kumpulan, permulaan skuad negara agak goyah meskipun menewaskan England 3-2 sebelum membenam Finland 4-1, sebelum tewas 2-3 kepada juara 2014, iaitu pasukan Jepun, sekali gus gagal menduduki tempat teratas Kumpulan B.
Sasaran yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk merampas semula Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992, menerusi pelan ‘Tangkis 2030, sebelum ini telah pun mencetuskan tanda tanya sejak dari awal lagi.
Hakikatnya, keputusan berkenaan tidak mengejutkan memandangkan kebimbangan terhadap perseorangan lelaki sudah lama berlarutan sebelum kejohanan bermula.
Cita-cita perlu seiring dengan kekuatan dan konsistensi.
Persoalan utama kini, adakah pemain gagal mengawal tekanan atau belum cukup hebat untuk bersaing pada edisi kali ini?
Kelemahan paling ketara dilihat dalam acara perseorangan lelaki.
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Leong Jun Hao gagal menyumbang sebarang mata dalam tiga perlawanan, termasuk kekalahan straight set 17-21, 15-21 kepada pemain Finland, Joakim Oldorff (ranking dunia ke-60) pada peringkat kumpulan.
Pemain perseorangan kedua negara, Justin Hoh (ranking dunia ke-44) menunjukkan sedikit potensi, namun masih gagal konsisten, hanya mencatat satu kemenangan daripada empat perlawanan, iaitu ke atas pemain Finland Kalle Koljonen 21-14, 21-12.
Beliau turut tewas kepada pemain seperti Yushi Tanaka dari Jepun (ranking ke-19) 15-21, 12-21 dan Li Shi Feng dari China (ranking ketujuh) 14-21, 13-21.
Masalah tidak konsisten itu semakin membimbangkan, terutama di bawah bimbingan pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen, yang sebelum ini pernah bekerja dengan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.
Peningkatan untuk acara perseorangan masih belum dapat menghasilkan keputusan yang positif, yang menyaksikan Jun Hao masih mengintai kejuaraan pertama, manakala pencapaian terbaik Justin setakat ini ialah naib juara Terbuka Macau 2025.
Jonassen, 51, turut menegaskan bahawa pemain perlu bertanggungjawab terhadap kemajuan karier masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada jurulatih, sekali gus menekankan keperluan akauntabiliti dalam skuad.
Turut gagal memberi impak ialah pemain profesional perseorangan lelaki, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang tewas 16-21, 15-21 kepada pemain England, Cholan Kayan (ranking dunia ke-153) dalam aksi pembukaan Kumpulan B.
Di sebalik kesukaran, terdapat sinar menerusi pemain profesional, Lee Zii Jia.
Pemain ranking dunia ke-82 itu muncul sebagai perseorangan lelaki paling konsisten apabila mencatat tiga kemenangan daripada tiga perlawanan, termasuk mengejutkan pemain Jepun Koki Watanabe (ranking ke-20) 21-13, 21-19 dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Selepas diuji dengan masalah kecederaan sejak 2024, kebangkitan Zii Jia menyuntik sedikit harapan. Persoalannya, mampukah juara Seluruh England 2021 itu mengekalkan momentum, dan kembali ke kelompok elit dunia dengan sasaran berada dalam kelompok 30 terbaik menjelang akhir tahun ini.
Lebih memilukan apabila gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mengubah keadaan, khususnya ketika menentang gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada suku akhir.
Pasangan juara dunia 2022 itu memberikan tentangan sengit pada set pertama sebelum tewas 22-24, namun gagal mengekalkan intensiti pada set kedua dan akhirnya kecundang 14-21, sekali gus memberikan China kelebihan 2-0 dalam pertembungan suku akhir.
Prestasi Aaron-Wooi Yik yang masih bergelut menentang pasangan ranking ke-5 dunia itu terus membimbangkan apabila tewas 10 daripada 13 pertemuan, satu statistik yang menunjukkan isu taktikal dan cabaran psikologi masih belum diatasi.
Jika mereka mahu kembali kepada prestasi terbaik dan menyahut cabaran pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028, peningkatan segera serta mengurangkan kesilapan mudah menjadi keutamaan.
Keputusan BAM merombak gandingan beregu dengan memisahkan Aaron dan Wooi Yik untuk bergandingan dengan Tee Kai Wun dan Nur Izzuddin Rumsani masing-masing ketika aksi terakhir kumpulan menentang Jepun turut menimbulkan persoalan terhadap kesan terhadap rentak permainan.
Sama ada percaturan itu menjejaskan rentak mereka masih menjadi perdebatan, namun sebagai pasangan berpengalaman, Aaron dan Wooi Yik tetap diharapkan untuk tampil konsisten dalam apa jua keadaan.
Andai Malaysia terus bergantung kepada kekuatan beregu tanpa memperkukuh bahagian perseorangan dengan kumpulan pemain sedia ada, laluan sukar mungkin menanti pada edisi akan datang.
Walaupun aksi dalam Piala Thomas 2026 mengecewakan, terdapat perkembangan positif daripada skuad wanita negara Piala Uber 2026 apabila berjaya mara ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.
Dengan pemain beregu wanita utama, Pearly Tan, tidak dapat beraksi akibat kecederaan sebelum kejohanan, skuad negara yang separuh daripadanya beraksi buat kali pertama namun masih berjaya menampilkan persembahan memberangsangkan.
Malaysia membuka saingan Kumpulan B dengan menewaskan Turkiye 3-2 dan membelasah Afrika Selatan 5-0, sebelum tewas 1-4 kepada juara enam kali, Jepun. Perjalanan mereka berakhir pada suku akhir selepas kecundang 0-3 kepada juara bertahan, China.
Pasangan muda beregu wanita Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan muncul sebagai pemain terbaik, selepas mencipta kejutan menewaskan pasangan ranking ketujuh dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19, sekali gus menyumbang satu mata tunggal Malaysia menentang Jepun.
Satu lagi pasangan, Ong Xin Yee-Carmen Ting turut mempamerkan aksi memberangsangkan walaupun tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning 14-21, 21-16, 13-21 dalam pertemuan pertama mereka pada aksi suku akhir menentang China.
Bagaimanapun, ketua pasukan M Thinaah melalui kempen yang sukar apabila gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan bersama Xin Yee, termasuk kekalahan tipis kepada Bengisu Ercetin-Nazlican Inci 22-20, 19-21, 19-21 serta tewas 9-21, 9-21 kepada pasangan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, K Letshanaa pula menunjukkan peningkatan ketara apabila mempamerkan semangat juang walaupun tewas kepada pemain nombor tiga dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi 19-21, 17-21 dan pemain nombor dua dunia dari China, Wang Zhi Yi 17-21, 18-21.
Harapan masih ada, namun BAM tidak boleh selesa dan perlu terus memperkasakan pemain wanita bagi memastikan prestasi lebih baik pada masa akan datang.
Walaupun China mengekalkan dominasi dengan mempertahankan kejuaraan Piala Thomas selepas menewaskan Perancis 3-1, namun kebangkitan Perancis wajar diberikan perhatian, yang diketuai pemain perseorangan Christo Popov, Alex Lanier dan Toma Junior Popov, yang bakal muncul pencabar utama dalam kejohanan individu.
Dalam Piala Uber 2026, Korea Selatan yang diketuai pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, An Se Young, menutup kempen cemerlang dengan meraih kejuaraan ketiga selepas menewaskan juara bertahan China 3-1.
Sekian, ‘Tak’ (terima kasih dalam bahasa Denmark) Horsens, jumpa lagi pada edisi 2028! – Bernama



