sudirman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bayi perempuan berusia tiga bulan ini, bukan sahaja disahkan sindrom down tetapi turut menghidap penyakit jantung berlubang, masalah tiroid dan tiada lubung dubur.
Itu keadaan dilalui bayi Tuan Nur Madina Athiya Muhammad Nur Syukri apabila selamat dilahirkan pada 2 September lalu di Hospital Kuala Terengganu, Terengganu.
Ibunya Tuan Juliza Tuan Jusoh, 43, berkata, bayi dalam kandungan dilapor sihat dan baik sepanjang kehamilan.
“Selama saya hamil dan setiap kali pergi buat pemeriksaan memang ada buat ujian imbasan. Setiap kali itu juga difahamkan keadaan bayi sihat dan okay. Cuma, saya saja yang ada kencing manis ketika hamil.
“Memandangkan dua anak sebelumnya adalah lelaki, jadi apabila kehamilan kali ini jantina perempuan, saya dan suami sangat gembira.
“Apabila selamat bersalin doktor memaklumkan bayi kami sindrom down. Saya cuba untuk kuat. Ketika itu saya cakap pada diri, saya terima ketentuan Allah. Selebihnya saya mahu dia okay dan sihat. Namun, sebaliknya yang mana bayi saya ada komplikasi kesihatan lain,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya yang juga Guru Tadika, dia reda apabila diberitahu bayi yang baru dilahirkan itu turut menghidap penyakit jantung berlubang, masalah tiroid dan tiada lubung dubur.
“Selepas bersalin, ketika keadaan saya masih belum okay, suami beritahu bayi ada masalah pernafasan. Doktor juga mahu berjumpa dan maklumkan keadaan sebenar bayi.
“Pada mulanya saya fikir bayi saya tak normal saja, tapi ada komplikasi lain. Memang hilang kata-kata ketika itu. Semua perasaan ada. Namun, saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan Tuan Nur Madina Athiya perlu menjalani pembedahan segera di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya dengan kos RM50,000.
Sementara itu, bapanya Muhammad Nor Syukri Abd Razak, 31, berkata, itu ujian kedua mereka selepas anak lelaki kedua mereka yang berusia lima tahun turut disahkan menghidap kanser otot pada 2022.
“Bagi kami berdua, ini ujian kedua. Sebelum ini, abang Athiya disahkan kanser otot. Saya cakap pada isteri, kita kena menjadi kuat lagi.
“Saya yakin dan percaya, ujian yang menimpa bayi kami ini Allah nak gantikan yang lebih baik. Insya-Allah, kami cuba buat yang termampu untuk dia,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan sumbangan itu layak mendapat pelepasan cukai.
Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 5, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat di 1401 0008 8427 18 atau Maybank di 5141 0532 3170 dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd
