Saira dakwa masalah kesihatan punca perceraian dengan AR Rahman

Saira dakwa masalah kesihatan punca perceraian dengan AR Rahman

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perceraian Maestro Muzik India, AR Rahman dan isteri, Saira Banu menggemparkan peminat pemuzik legenda itu.

Rumah tangga bakal menginjak usia tiga dekad itu gagal dipertahankan sehingga mengejutkan ramai kerana mereka dilihat pasangan cukup ideal.

AR Rahman sendiri turut meluahkan kesedihan atas perpisahan dengan bekas isterinya menerusi platform X.

“Kami berharap dapat meniti ke angka 30 tahun, tetapi penghujungnya tidak.

“Namun dalam kehancuran ini, kami mencari di sebalik setiap serpihan yang tidak akan menemukan tempat asalnya.

“Kepada rakan, terima kasih atas kebaikan anda dan menghormati privasi kami ketika sedang melalui jalan rapuh ini,” tulis Rahman.

Perceraian pasangan itu mencetuskan tanda tanya berikutan mereka dilihat sebagai pasangan cukup bahagia.

Bagaimanapun, timbul desas-desus kehadiran ‘orang ketiga’ menjadi punca perpisahan apabila pemain bes AR Rahman, Mohini Dey turut mengumumkan perceraian dengan suami.

Namun, Saira dilihat mempertahankan bekas suaminya.

Katanya, perceraiannya berpunca daripada masalah kesihatan yang dialami malah menyebabkannya terpaksa berpindah ke Mumbai bagi mendapatkan rawatan.

AR Rahman dan Banu berkahwin pada 1995 dan dikurniakan tiga anak iaitu Khatija, Raheema dan Ameen.

Perkahwinan mereka, dilapor diatur ibu Rahman yang menjadi individu penting dalam perjalanan karier legenda muzik itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top