Messi raja Piala Dunia dengan 19 gol

Messi raja Piala Dunia dengan 19 gol

Dallas: Lionel Messi meluahkan kegembiraannya selepas mengukuhkan statusnya sebagai ikon Piala Dunia sebenar selepas membantu Argentina menamatkan saingan kumpulan dengan rekod sempurna pada pusingan akhir 2026.

Bintang sensasi Inter Miami itu masuk sebagai pemain gantian untuk memastikan kemenangan 3-1 ke atas Jordan sekali gus memastikan juara bertahan itu mara ke pusingan kalah mati dengan momentum maksimum.

Selepas sudah mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik, jurulatih, Argentina Lionel Scaloni mengambil peluang untuk merehatkan pemain utama termasuk Messi.

Juara bertahan itu menyertai Mexico dan Perancis sebagai satu-satunya negara yang menamatkan saingan kumpulan 2026 dengan rekod 100 peratus.

Walaupun Jordan beraksi untuk maruah dalam penampilan sulung mereka di kejohanan itu, mereka bergelut mengekang skuad Argentina sepanjang babak pertama.

Giovani Lo Celso yang terkenal kerana terlepas kemenangan 2022 akibat kecederaan membuka jaringan dengan sepakan percuma bijak yang mengejutkan penjaga gol Jordan.

Lautaro Martinez kemudian menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Marcos Senesi dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Walaupun bermula di bangku simpanan, Messi hanya memerlukan penampilan singkat untuk mengukuhkan lagi namanya dalam buku rekod.

Kapten Argentina itu dimasukkan pada minit ke-60 menggantikan Martinez dan segera memberi impak kepada perlawanan di Stadium Dallas.

Dengan sepakan percuma klinikal pada minit ke-80, dia menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan Piala Dunia berturut-turut, satu pencapaian belum pernah berlaku dalam sejarah kejohanan.

Selepas wisel penamat, pemain veteran itu meluahkan rasa bangga di media sosial, berkata kepada peminat ‘satu lagi kemenangan untuk melengkapkan peringkat kumpulan. Kami kekal bersatu.’

Jaringan itu juga menyaksikan pemain berusia 39 tahun itu melebarkan rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, mencapai 19 gol yang menakjubkan.

Jumlah itu meletakkannya jauh di hadapan legenda seperti Miroslav Klose dan Kylian Mbappe yang masing-masing mempunyai 16 gol serta ikon Brazil, Ronaldo Nazario yang merekodkan 15 gol sepanjang karier gemilangnya.

Walaupun Messi terus memisahkan dirinya di puncak carta sejarah, perebutan Kasut Emas 2026 turut semakin hangat yang menyaksikan bintang Argentina itu kini mendahului dengan enam gol, dua gol di hadapan penyerang Brazil, Vinicius Junior ; duo Perancis, Ousmane Dembele dan Mbappe serta penyerang, Norway Erling Haaland.

Argentina kini menantikan laluan yang lebih mudah dalam peringkat kalah mati ketika mereka cuba mempertahankan kejuaraan.

Dengan menamatkan saingan sebagai juara kumpulan, mereka mengelak pasukan gergasi dalam masa terdekat dengan kemungkinan pertembungan menentang Australia atau Mesir menanti di pusingan 16.

Namun sebelum memikirkan lawan mereka, Argentina terlebih dahulu akan menentang Cape Verde dalam pusingan 32 pada 7 Julai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top