suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua lelaki dipercayai penagih dadah direman lima hari selepas ditahan polis susulan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kuching di sini, kelmarin, ketika cuba melarikan diri daripada polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, reman terhadap kedua-dua suspek diluluskan bermula semalam sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah yang dijumpai dipercayai untuk kegunaan sendiri.
“Melalui pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis telah menjumpai dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram.
“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, akibat panik melihat anggota polis menyebabkan dua penagih dadah yang menaiki Perodua Viva bertindak merempuh beberapa kenderaan di Jalan Kuching dalam usaha melarikan diri.
Kedua-duanya yang berusia 40 dan 42 tahun dilihat mencurigakan di kawasan Wangsa Maju sebelum berjaya ditahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




