Ingkar mohon lesen, mesin cetak RM3.9 juta disita

Ingkar mohon lesen, mesin cetak RM3.9 juta disita

mhafis@mediaprima.com.my

Kapar: Keingkaran syarikat percetakan memohon lesen mesin cetak walaupun sudah diberi notis peringatan dalam tempoh 60 hari mengundang padah apabila Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) menjalankan Ops Tera di tiga lokasi sebelum menyita mesin dan perkakas mencetak bernilai RM3.9 juta hari ini.

Setiausaha Bahagian Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, seramai 30 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan KDN Ibu Pejabat Putrajaya menjalankan serbuan serentak di tiga lokasi iaitu di Semenyih, Kajang dan dua di Kapar hari ini.

Menurutnya, dalam operasi itu, turut ditahan dan disiasat tiga orang bagi membantu siasatan.

“Operasi ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan premis yang belum memohon lesen mesin cetak supaya membuat permohonan setelah Program Advokasi Lesen Mesin Cetak (PA LMC) dan diberi notis selama 60 hari dilakukan.

“Kita dapati premis ini masih ingkar dan sudah melebihi tempoh notis diberikan 60 hari seperti premis yang diperiksa hari ini program advokasi dilaksanakan Julai lalu dan sehingga November masih belum memohon,” katanya kepada media selepas operasi itu hari ini.

Nik Yusaimi berkata, pihaknya melaksanakan aktiviti penguatkuasaan yang progresif dengan menggiatkan aktiviti pematuhan pemilikan LMC oleh syarikat/ premis yang menjalankan aktiviti perniagaan pencetakan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

“Untuk makluman, pemeriksaan mesin cetak/ jentera di syarikat/ premis yang menjalankan perniagaan pencetakan oleh PK KDN adalah berdasarkan peruntukan mengikut subseksyen 3(2) dan Jadual 1 Akta 301 mengenai takrifan mesin cetak dan kadar pencetakan.

“Sesuatu mesin cetak yang berupaya mencetak pada kadar 1,000 teraan atau lebih dalam tempoh sejam hendaklah memiliki LMC,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sejumlah 3,035 buah syarikat/premis pencetakan di seluruh negara diperiksa dan diberikan advokasi/khidmat nasihat mengenai keperluan pemilikan LMC serta pematuhan syarat-syarat Lesen dengan kadar kepatuhan mengikut kategori.

“Kategori itu adalah tidak memiliki LMC, memiliki lesen tetapi tidak dikemaskini dan menggunakan lesen milik syarikat atau premis lain.

“Menerusi Ops Tera, pemeriksaan ulangan dan operasi dilakukan ke atas sejumlah 44 buah premis setakat ini tetapi tidak termasuk serbuan hari ini dan sebanyak 23 kertas siasatan sudah dibuka yang melibatkan sejumlah 136 pelbagai jenis mesin serta perkakas mencetak disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM 1.5 juta.

“Seramai 23 orang terdiri 19 lelaki dan empat wanita berusia dalam lingkungan 30-50an ditahan untuk siasatan lanjut di seluruh negara,” katanya.

Katanya, sehingga November lalu, sebanyak 563 permohonan diterima oleh PK KDN.

“Syarikat/ premis yang memiliki apa jua jenis mesin cetak bagi tujuan perniagaan yang mempunyai keupayaan mencetak melebihi seribu teraan sejam hendaklah memohon dan memiliki lesen.

“Jika disabitkan kesalahan, pihak atau individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top