London: Harapan Tottenham Hotspur untuk mengurangkan hukuman penggantungan tujuh perlawanan terhadap Rodrigo Bentancur akibat kenyataan berbaur perkauman terhadap rakan sepasukannya, Son Heung Min, ditolak, menurut kenyataan Persatuan Bolasepak England (FA).
Penggantungan itu, yang hanya membabitkan aksi domestik, diberikan oleh panel bebas pada 18 November selepas pemain tengah Uruguay itu didapati bersalah membuat kenyataan yang melanggar peraturan FA.
Tottenham sebelum ini menyatakan hasrat untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Namun, selepas satu sesi pendengaran, FA mengesahkan bahawa rayuan itu ditolak.
Bentancur kini perlu menjalani baki hukuman, termasuk tidak dapat beraksi dalam pertemuan Piala Liga menentang Manchester United serta perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool.
“Rayuan ini ditolak selepas sesi pendengaran, dan penggantungan tujuh perlawanan kekal seperti yang diarahkan oleh komisen pengawalseliaan,” menurut kenyataan FA.
Kes itu berkisar pada wawancara televisyen di Uruguay pada Jun lalu, di mana Bentancur didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman mengenai Heung Min, pemain kebangsaan Korea Selatan.
Ketika diminta menunjukkan jersi rakan sepasukan, Bentancur berkata: “Sonny? Ia juga boleh menjadi sepupu Sonny kerana mereka semua kelihatan sama.”
Kenyataan itu dianggap sebagai pelanggaran serius peraturan FA, dengan hukuman minimum enam perlawanan.
Tottenham bagaimanapun menyifatkan hukuman itu sebagai ‘terlalu berat’ ketika mengumumkan niat untuk membuat rayuan.
Selepas insiden itu, Bentancur memohon maaf secara terbuka kepada Heung Min melalui Instagram, dan permohonan maaf itu diterima menerusi kenyataan di platform yang sama.
Walaupun begitu, hukuman tambahan berupa denda £100,000 (RM583,000) turut dikenakan ke atas pemain tengah Spurs itu.
Penggantungan Bentancur dijangka memberi kesan besar kepada Tottenham, yang kini sedang bersaing sengit dalam EPL dan pertandingan domestik lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




